Tindakan pihak berwajib bantu elak provokasi ketika final Piala FA

Tangkap layar video tular memaparkan pihak berwajib membawa keluar beberapa penyokong yang dipercayai membuat provokasi.
Tangkap layar video tular memaparkan pihak berwajib membawa keluar beberapa penyokong yang dipercayai membuat provokasi.
A
A
A

TINDAKAN pantas pihak berwajib ketika perlawanan akhir bola sepak Piala FA 2023 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan KL City di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Sabtu lepas, dapat membantu mengelakkan provokasi berpanjangan berlaku antara kedua-dua penyokong.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, tindakan pihak berwajib termasuk Polis Diraja Malaysia itu penting, bagi memastikan keselamatan orang ramai, terutamanya kanak-kanak lebih terjamin.

Beliau turut menjunjung kasih kepada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang sentiasa mengutamakan keselamatan rakyat dengan meminta pihak berwajib membuat kawalan di stadium, bagi mengelakkan kecelakaan berlaku khususnya ketika perlawanan berlangsung.

"Rata-rata penyokong mungkin merasa ghairah untuk ke stadium yang bertaraf antarabangsa atau teruja kerana pertama kali datang, dan tidak dapat menahan diri. Jadi, tindakan pantas pihak berwajib bertujuan mengawal kemungkinan berlaku pergaduhan di dalam atau di luar stadium, sekali gus elak provokasi meluas,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Skuad Muda Southern Volunteers (SV) Sekolah di sini pada Selasa.

Mohd Hairi berkata demikian ketika mengulas mengenai beberapa video tular, memaparkan pihak berwajib membawa keluar beberapa penyokong yang dipercayai membuat provokasi, semasa menonton perlawanan akhir bola sepak tersebut di Stadium Sultan Ibrahim.

Pada Isnin, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin dilapor berkata, seorang penonton perlawanan akhir bola sepak Piala FA 2023 antara JDT dan KL City, mendakwa dirinya dipukul oleh anggota Johor Military Force (JMF), dekat sini, Sabtu.

Rahmat dipetik berkata, lelaki berusia 30 tahun itu turut mendakwa, dirinya mengalami kecederaan dan membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi, Kuala Lumpur, pada 11.50 pagi, Ahad.

Sementara itu, Mohd Hairi berkata, seramai 50,400 pelajar sekolah di negeri ini menjadi Skuad Muda SV Sekolah, dalam usaha memupuk semangat sukarelawan dalam kalangan pelajar, sekali gus menjadikan jumlah ahli SV di Johor meningkat kepada 75,000 orang, berbanding 24,600 orang sebelum ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!