Azeem optimis bawa pulang pingat Sukan Asia

Azeem bergambar dengan sebahagian pelajar selepas menghadiri sesi Meet & Greet bersama atlet olahraga kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 8 (1), Putrajaya pada Isnin. - FOTO: BERNAMA
Azeem bergambar dengan sebahagian pelajar selepas menghadiri sesi Meet & Greet bersama atlet olahraga kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 8 (1), Putrajaya pada Isnin. - FOTO: BERNAMA
A
A
A

PELARI pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi optimis mampu menyambar kilauan pingat pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 di China September depan.

Azeem berkata, ia bukan misi mustahil untuk dicapai dalam penampilan sulungnya di pentas Sukan Asia selepas dia kini pulih sepenuhnya daripada kecederaan pangkal paha yang dialami pada Mei lalu.

Malah, pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) lelaki itu tidak sabar untuk sekali lagi bersaing dengan dua pencabar utamanya - Hiroki Yanagita dari Jepun dan jaguh pecut Thailand, Puripol Boonson.

"Saya akan pulang ke AS (Amerika Syarikat) pada hujung minggu ini bagi meneruskan latihan saya di sana. Saya sangat yakin dapat membawa pulang pingat pada Sukan Asia.

"Sebenarnya persiapan dan prestasi saya berada pada tahap terbaik sejak Mac lalu. Tetapi rezeki tidak memihak kepada saya apabila mengalami kecederaan pangkal paha dalam persiapan NCAA (Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan AS) pada Mei lalu.

"Jadi, fokus saya ketika ini adalah memastikan saya tidak mengalami kecederaan dan membina semula keyakinan dalam usaha saya untuk membawa pulang pingat tidak kira apa warna pada Sukan Asia nanti," katanya kepada pemberita Isnin.

Untuk rekod, Datuk Rabuan Pit muncul atlet pecut terakhir negara yang berjaya menaiki podium di pentas Sukan Asia apabila dengan menjuarai acara riben biru tersebut pada edisi 1982 di New Delhi, India.

Pada Kejohanan Olahraga Asia 2023 di Bangkok, Thailand baru-baru ini, Azeem terpaksa akur apabila menamatkan saingan final 100 m di tempat kelima yang menyaksikan pingat emas dimenangi Yanagita.

Azeem berkata, dia sudah tidak sabar untuk kembali berentap dengan Yanagita dan Boonson yang tidak menyertai Kejohanan Olahraga Asia ekoran masalah kecederaan hamstring pada Sukan Asia Hangzhou 2022.

"Kami bertiga (Azeem, Yanagita dan Puripol) pernah bersaing di Colombia (Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Dunia, Ogos tahun lalu). Kedudukan waktu itu Puripol keempat, saya kelima dan pelari Jepun itu (Yanagita) keenam.

"Kami bertiga akan kembali bertemu pada Sukan Asia nanti. Saya percaya mereka akan mempamerkan peningkatan prestasi tetapi saya akan pastikan saya buat lebih baik berbanding mereka untuk memenangi pingat di Sukan Asia," ujar Azeem.

Selepas kembali menyambung latihan di AS, Azeem yang juga pelajar di Universiti Auburn di Alabama dijangka kembali semula ke tanah air dua minggu sebelum temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 bermula.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!