Kerajaan sedia bantu rundingan - Fahmi

Fahmi
Fahmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersedia menjadi pemudah cara bagi membantu perundingan organisasi media tempatan dalam mendapatkan pampasan atau bayaran adil daripada syarikat gergasi teknologi.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, usaha ini diambil bagi memastikan syarikat media tempatan dibantu mendapatkan hak sepatutnya daripada gergasi teknologi seperti Google dan Meta.

"Adalah tidak adil bagi syarikat-syarikat teknologi besar menggunakan kekuatan mereka memperdagangkan kandungan tempatan untuk keuntungan sendiri sahaja dengan secara percuma dan menjualnya kepada para pengiklan sedangkan untuk menghasilkan kerja-kerja kewartawanan yang bermutu tinggi memerlukan modal yang besar.

"Dianggarkan beberapa syarikat media tempatan membelanjakan sehingga RM278.1 juta setahun bagi menghasilkan kandungannya.

"Tentulah tidak masuk akal apabila penerbitan atau penyiaran kandungan tersebut diceduk secara percuma oleh syarikat gergasi teknologi dan membuat untung daripadanya," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan sempena Majlis Penutup Forum Media Nasional 2023 anjuran Malaysian Press Institute (MPI) yang dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Mastura Ahmad di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MPI Datuk Dr Chamil Wariya.

Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar menerusi forum sama sebelum itu menggesa kerajaan mengambil inisiatif untuk memulakan perbincangan dengan gergasi teknologi seperti Google dan Meta bagi menuntut supaya mereka membayar kandungan berita kepada syarikat media tempatan.

Ujarnya, langkah itu perlu dengan mengambil kira situasi semasa termasuk keuntungan yang diraih syarikat berkenaan melalui kandungan berita yang dikongsikan di pelbagai platformnya.

Sementara itu, Fahmi turut menjelaskan, kerajaan juga sedia pertimbang untuk memperkenalkan kerangka perundangan baharu bagi melincinkan perundingan tersebut sekiranya perlu.

Bagaimanapun ujarnya, bantuan yang boleh diberikan kerajaan sama ada melalui perundangan atau sebaliknya juga ada prasyaratnya.

"Industri berita dan kewartawanan perlu menunjukkan kesatuan atau solidariti yang tinggi. Pasukan petugas yang telah dibentuk oleh Persatuan Penerbit Akhbar Malaysia (MNPA) itu memang baik, tetapi dalam bentuk yang sedia ada hanya mewakili media arus perdana yang besar sahaja," katanya.

Justeru katanya, bagi memastikan media-media kecil dan sederhana tidak disisihkan dalam perundingan dengan Google dan Facebook, mereka juga perlu dilibatkan.

Tambah Fahmi, kerajaan dalam masa sama turut mengikuti dengan rapi perkembangan yang berlaku di Australia dan Kanada yang telah memperkenalkan undang-undang khusus untuk melindungi kandungan media di kedua-dua negara yang digunakan oleh pelbagai platform media sosial syarikat gergasi teknologi dengan mewajibkan pihak-pihak yang terlibat mengadakan rundingan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!