'Ingat pesan Salahuddin, jangan biar rakyat tidur dengan perut kosong'

Salahuddin
Salahuddin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub disifatkan sebagai seorang bapa yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

Pengarah Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, Allahyarham sangat prihatin dan sentiasa mengambil berat keadaan rakyat.

Menurutnya, Allahyarham ibarat figura bapa yang tegas memperjuangkan nasib rakyat tetapi dengan cara lembut dalam kepimpinannya.

Lilis Saslinda mengakui kehilangan Allahyarham Salahuddin amat dirasai warga KPDN Johor kerana Ahli Parlimen Pulai itu kerap pulang ke kawasan dan menghadiri program anjuran kementerian.

"Allahyarham seorang yang sangat baik, beliau akan hadir setiap program kementerian bagi memberi sokongan terutama yang membabitkan kebajikan rakyat khususnya Payung Rahmah.

"Biasanya kalau dalam ucapan, Allahyarham akan mulakan dengan mukadimah yang akan kita ingat, contoh kita sebagai pegawai KPDN kena ingat denyut nadi rakyat dan jangan biar rakyat tidur dengan perut kosong," katanya.

Lilis Saslinda (depan, tengah) ketika Program Cabaran Interaktif Pengguna (CIP KPS) Peringkat Negeri di pusat beli belah Toppen, Johor Bahru pada Selasa.
Lilis Saslinda (depan, tengah) ketika Program Cabaran Interaktif Pengguna (CIP KPS) Peringkat Negeri di pusat beli belah Toppen, Johor Bahru pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Cabaran Interaktif Pengguna (CIP KPS) Peringkat Negeri di pusat beli belah Toppen di sini pada Selasa.

Pada Ahad, Salahuddin, 61, menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.23 malam ketika di dalam unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.

Beliau sebelum ini dikejarkan ke wad kecemasan HSB kira-kira jam 10.15 malam Jumaat dan mendapat rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah, sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.

Lilis Saslinda berkata, walaupun tidak sampai setahun di bawah kepimpinan Allahyarham, warga KPDN Johor merasa mudah mesra kerana keperibadiannya yang sederhana.

"Kehilangan Allahyarham memang memberi kesan yang dalam, tetapi kami akan terus berpegang kepada pesanannya dalam menjalankan tanggungjawab demi rakyat," katanya sebak.

Mengenai program terbabit, 136 peserta iaitu pelajar dari 33 sekolah menengah di 11 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terlibat.

Sekolah Menengah Agama Bandar Penawar menjadi juara CIP KPS negeri Johor dan akan mewakili negeri ini ke peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di Miri Sarawak pada Ogos depan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Suasana pilu selubungi ketibaan jenazah Salahuddin

Belangsungkawa Datuk Seri Salahuddin Ayub

Jenazah Salahuddin selamat disolatkan di Masjid Al-Badar

Jenazah Salahuddin dikebumi di Pontian tengah hari Isnin

Jenazah Salahuddin akan disembahyangkan di Masjid Al-Badar

Salahuddin aktif pastikan tiada kenaikan harga barang - Mat Sabu

Salahuddin rakan baik, budiman - Sanusi

Pesawat khas bawa pulang jenazah Salahuddin ke Johor Bahru

Jenazah Salahuddin akan dikebumikan di Tanjung Piai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!