Isu 3R: Kerajaan setuju semak Akta Hasutan 1948
PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju menyemak Akta Hasutan 1948 [Akta 15] dengan sewajarnya bagi memastikan perundangan ini digunakan hanya untuk melindungi Institusi Raja-Raja daripada sebarang provokasi.
Menerusi kenyataan pada Selasa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, persetujuan secara prinsip itu dicapai selepas beliau membentangkan hasil Dialog Perundangan 3R kepada Jemaah Menteri.
Menurutnya, aspek lain berkenaan provokasi yang melibatkan agama dan bangsa akan diteliti termasuk penggubalan perundangan baharu jika perlu mengenai keharmonian dan perpaduan negara dengan mengambil kira pandangan institusi raja-raja sebagai ketua agama Islam dan amalan serta prinsip terbaik antarabangsa.
"Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan mengambil langkah yang sewajarnya dalam menyemak secara terperinci Akta Hasutan 1948 [Akta 15] dan memastikan cadangan pindaan yang bakal dicadangkan adalah benar-benar bertujuan untuk melindungi institusi raja-raja secara holistik," katanya.
Sebelum ini, kerajaan dilapor mengkaji untuk mewujudkan akta baharu berdasarkan aspek sivil yang mungkin dinamakan Akta Negara Bangsa mirip Akta Keharmonian Kaum di Singapura dan cadangan itu dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada mesyuarat kabinet.
Sementara itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mencadangkan supaya kerajaan menggubal Akta Kebencian Kaum dan Ekstremisme Agama bagi menangani isu 3R.
Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata, ia berikutan perbuatan menghina raja atau sultan tidak sama dengan tindakan menghasut yang termaktub di bawah akta sedia ada.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!