Parlimen Thailand tangguh lantik PM baharu
BANGKOK - Speaker Parlimen Thailand, Wan Muhamad Noor Matha pada Selasa mengumumkan proses untuk melantik Perdana Menteri baharu ditangguhkan sekali gus menyebabkan negara itu kini berdepan kebuntuan politik selama lebih dua bulan.
Undian pusingan baharu itu dijadualkan pada Khamis setelah dua pusingan awal menolak pencalonan pemimpin Parti Move Forward (MFP), Pita Limjaroenrat yang menang besar pada Pilihan Raya Umum pada Mei lalu.
"Kami perlu menunggu keputusan mahkamah terlebih dahulu," kata Wan Noor merujuk kepada petisyen dikemukakan Ombudsman kepada Mahkamah Perlembagaan untuk meminta penangguhan tersebut.
Jelasnya, masalah akan timbul jika Parlimen tetap meneruskan proses itu sebelum mahkamah membuat keputusan.
Pengumuman itu memusnahkan harapan Parti Pheu Thai, parti kedua paling popular yang dijangka mahu mengemukakan calon mereka sendiri pada minggu ini di bawah gabungan terdiri daripada lapan parti prodemokrasi.
Taikun hartanah, Srettha Thavisin disebut sebagai salah seorang calon pilihan yang bakal dinamakan pada undian pusingan ketiga tersebut.
Perdana Menteri sementara, Prayut Chan-o-cha dalam satu kenyataan turut menolak cadangan beberapa sekutu MFP untuk menunggu sehingga penggal perkhidmatan senator dilantik tentera berakhir pada Mei 2024 bagi menubuhkan kerajaan baharu.
"Saya rasa idea itu tidak sesuai," ujarnya yang mengumumkan bakal bersara daripada dunia politik pada awal bulan lalu.
Difahamkan, seramai 249 senator bakal terlibat dalam proses untuk melantik pengganti Prayut yang mana individu tersebut memerlukan sekurang-kurangnya 375 undi sokongan dwi dewan.
Ketika pengundian pusingan pertama, Pita meraih 324 undi dengan hanya 13 senator menyokong pencalonan beliau. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!