Penduduk dijangka terima bekalan air malam ini
KLANG - Penduduk yang terputus bekalan air sejak Ahad lalu dijangka mula menerima bekalan malam ini.
Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kerja-kerja pembaikan paip yang pecah difahamkan telah siap dibaiki.
"Ketiga-tiga paip utama yang pecah ekoran pergerakan tanah pembinaan lebuhraya West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping siap dibaiki dan bekalan air mula disambungkan jam 6 petang ini dan akan terus diagihkan ke kolam tadahan berhampiran.
“Kita jangkakan dalam tempoh 24 jam semua penduduk akan menerima bekalan air dan dijangkakan penduduk sekitar Telok Gong akan paling lambat menerima bekalan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di lokasi kerja pembaikan tiga paip utama yang pecah berhampiran Projek West Coast Expressway Banting-Taiping hari ini.
Menurutnya, kerja pembaikan hampir siap malam semalam namun berlaku pergerakan tanah yang menyebabkan kerja tertangguh dan memerlukan masa tambahan untuk disiapkan.
“Pagi ada mesyuarat bersama pihak berkenaan dan pihak WCE bersetuju untuk membuka dinding penahan serta mengeluarkan tanah supaya kawasan yang terkesan tidak lagi mengalami bebanan berlebihan,” katanya.
Dalam masa sama, katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) diminta untuk melihat kembali kualiti kerja WCE.
Menurutnya, buat masa ini semua pihak terlibat diminta untuk melihat kembali beberapa aspek dalam projek ini.
"Isu melibatkan masalah gangguan bekalan air, dan keutamaan kami adalah memastikan pengguna tidak terjejas dan mendapat bekalan air.
“Kerja-kerja mengalihkan batuan akan dilaksanakan dalam masa tiga hari bagi mengurangkan tekanan dan dijangkakan kerja pengalihan bebanan ini siap dalam masa tiga hari,” katanya.
Terdahulu, Air Selangor mengaktifkan pelan tindakan kecemasan kod kuning Sabtu lalu apabila mendapati tiga paip utama bersaiz 1,400mm, 900mm dan 600mm.
Kerajaan negeri turut memohon maaf kepada 175,000 pemegang akaun yang terjejas di 65 kawasan khususnya sekitar Klang akibat insiden itu dan berjanji akan menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!