Nik Safuan Ismade kemudi Bunga Raya 7s

Nik Safuan Ismade (kanan) pengendali baharu skuad ragbi lelaki 7s kebangsaan.
Nik Safuan Ismade (kanan) pengendali baharu skuad ragbi lelaki 7s kebangsaan.
A
A
A

KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) mengumumkan pelantikan Nik Safuan Ismade Nik Man sebagai ketua jurulatih skuad ragbi lelaki tujuh (7s) sebelah kebangsaan.

Sebagai rekod, Nik Safuan Ismade, 42 tahun merupakan bekas pemain ragbi kebangsaan yang pernah mewarnai arena sukan lasak itu dari tahun 2003 hingga 2011.

Beliau memulakan karier kejurulatihan selaku penolong jurulatih pasukan lelaki 15 Sebelah Bawah 23 tahun pada tahun 2012 di Kejohanan Causeway Challenge Shield dan penolong jurulatih pasukan tujuh sebelah lelaki bagi Kejohanan HBSC 7s Series pada 2013 hingga 2014.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai ketua jurulatih lelaki tujuh sebelah bagi 2015 hingga 2016 dan telah membimbing pasukan wanita tujuh sebelah kebangsaan bermula 2016 hingga 2021.

Sebagai bekas pengendali pasukan kebangsaan, antara kejayaan dikecapi sebagai ketua jurulatih sebelum ini adalah membawa pulang pingat perak Sukan SEA 2015 bersama pasukan lelaki, selain pingat gangsa Sukan SEA 2017 dan 2019 bagi pasukan wanita serta Kejuaraan Trofi Wanita Asia 2018.

Pemilihan itu dibuat selepas Mesyuarat Exco KRM bersama bahagian kejurulatihan dan prestasi tinggi KRM mengadakan perbincangan serta penilaian menyeluruh dan telah memutuskan Nik Safuan Ismade adalah merupakan calon terbaik untuk mengendalikan pasukan Bunga Raya 7s.

KRM memaklumkan pemilihan Nik Safuan Ismade ini berdasarkan pengalaman luas sebagai jurulatih di peringkat kelab dan kebangsaan serta mempunyai sijil kelayakan yang diiktiraf oleh Badan Induk Ragbi Dunia (World Rugby) dan Majlis Sukan Negara (MSN) antaranya World Rugby Level 2 7s, World Rugby Level 3 15s dan MSN Sports Sciences Level 3.

Beliau akan memulakan khidmat sebagai ketua jurulatih kebangsaan untuk persiapan dan persediaan Bunga Raya 7s menghadapi temasya Sukan Asia Hangzhou, China 2023 di Majlis Sukan Negara (MSN).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!