Gugur 'orang lama' adalah proses biasa - Anthony

Anthony pada Majlis Pengumuman Calon DAP Pulau Pinang dan Kedah untuk PRN Ke-15 di sebuah hotel di Georgetown pada Selasa.
Anthony pada Majlis Pengumuman Calon DAP Pulau Pinang dan Kedah untuk PRN Ke-15 di sebuah hotel di Georgetown pada Selasa.
A
A
A

GEORGETOWN - Pembaharuan dalam setiap pilihan raya termasuk menggugurkan beberapa nama 'orang lama' adalah satu perkara dan proses biasa.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, selain itu, ia juga merupakan satu tindakan bagi memberi peluang kepada muka baharu untuk berkhidmat kepada rakyat.

Bagaimanapun katanya, pihak parti mengambil pendekatan seimbang dengan adanya muka baharu dan juga mengekalkan beberapa muka lama agar DAP dapat membina kekuatan di Pulau Pinang.

"Pembaharuan ini akan dilakukan setiap kali pilihan raya. Proses pembaharuan ini mesti akan berlaku dan itu adalah perkara dan proses yang biasa. Oleh itu, kita rasa perlu berikan peluang kepada muka baharu yang telah kita putuskan.

"Kita mengharapkan bahawa ia akan membawa satu nafas baharu dan itu adalah proses yang perlu dilakukan setiap parti politik," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pengumuman Calon DAP Pulau Pinang dan Kedah untuk PRN Ke-15 di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Kata beliau, DAP tidak teragak-agak untuk melakukan proses pembaharuan tersebut bagi mengekalkan parti itu kekal relevan.

"Jika kita gagal untuk melakukan proses ini, maka parti ini akan menjadi tidak relevan.

"Satu hari nanti mungkin saya juga akan digantikan, jadi saya ingin nyatakan bahawa parti lebih besar daripada mana-mana pemimpin, tidak ada seorang pemimpin yang tak boleh digantikan malah Lim Kit Siang pun bersara," katanya.

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai tokoh-tokoh DAP antaranya P Ramasamy dan Chong Eng yang digugurkan sebagai calon DAP pada PRN kali ini, Anthony berkata, parti membuat pertimbangan sedemikian bagi memberi laluan dan peluang kepada calon muka baharu untuk berkhidmat kepada masyarakat.

"Ada beberapa tokoh sebagai contoh Ramasamy yang telah tiga penggal berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri, Chong Eng pula secara keseluruhannya enam penggal sebagai ADUN dan Ahli Parlimen sejak 1995.

"Jadi ada keperluan yang kita rasa perlu berikan peluang kepada muka baharu, itu yang telah kita putuskan," katanya.

Sebelum ini, lima Exco Kerajaan Pulau Pinang dari DAP digugurkan daripada senarai calon untuk bertanding dalam PRN yang akan diadakan pada 12 Ogos ini.

Mereka adalah Exco Alam Sekitar dan Kebajikan Masyarakat, Phee Boon Poh; Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee, Exco Pelancongan dan Industri Kreatif, Yeoh Soon Hin dan Timbalan Ketua Menteri II yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Pendidikan, Sains dan Teknologi, P Ramasamy.

Boon Poh merupakan penyandang kerusi Sungai Puyu; Chong Eng (Padang Lalang); Lip Chee (Bagan Jermal), Soon Hin (Paya Terubong) dan Ramasamy (Perai).

Kerusi milik kesemua penyandang telah diisi oleh calon baru kecuali Padang Lalang yang diisi oleh Daniel Gooi Zi Sen yang merupakan penyandang kerusi bagi Pengkalan Kota.

Bagi kerusi Paya Terubong yang disandang Soon Hin pula, ia diganti oleh bekas Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!