Peniaga ‘colek’ gusar arahan tutup kedai
KOTA BHARU - Arahan kerajaan negeri supaya kedai makan ditutup sementara bermula jam 8.30 hingga 10 malam pada bulan puasa menimbulkan kegusaran dalam kalangan peniaga terutama yang menjual ‘colek’ kerana tempoh itu adalah waktu kemuncak.
Peniaga Colek Kak Zan di Kampung Sireh, Nurul Jannah Mukhtar, 23, berkata, arahan penutupan operasi selama sejam setengah itu dikhuatiri akan menjejaskan keuntungan dan menganggu punca rezeki mereka yang berniaga pada bulan itu.
“Makan ‘colek’ pada bulan Ramadan sudah menjadi seperti budaya di negeri ini dan sememangnya dinikmati pada waktu malam selepas berbuka atau selepas solat tarawih.
“Jadi kalau waktu selepas berbuka diarahkan pula ditutup, itu tidak betul kerana ramai pelanggan yang datang awal untuk menikmati ‘colek’
"Aabila dibuka pula pada jam 10 malam, sudah tentu pelanggan sudah berkurang dan tinggal mereka yang selesai tarawih sahaja kerana sudah lewat malam serta ramai yang dah penat atau mengantuk serta perlu bersedia untuk bersahur pula,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Menurutnya, arahan daripada pihak kerajaan negeri terbabit pula dikeluarkan secara tiba-tiba menyebabkan peniaga seperti tidak membuat apa-apa persediaan, sebaliknya bahan mentah untuk tujuan jualan itu sudah siap ditempah lebih awal.
“Jadi, macam saya sendiri hanya berniaga pada bulan puasa bermula pada jam 6 petang dan kalau hendak tutup kedai bermula 8.30 malam, sudah tentu tempoh perniagaan saya lebih pendek dan boleh rugi, sedangkan barang-barang mentah sudah dibeli dan tersedia untuk dijual.
“Modal dah habis banyak kira-kira RM400-RM 500 diperuntukkan kerana saya memilih untuk membeli bahan-bahan yang segar untuk menghasilkan colek perut, paru, buah-buahan dan pelbagai lagi.
“Kami ni berniaga bukannya sampai lagha hingga lupa beribadat, malah saya sendiri bergilir dengan ahli keluarga lain untuk melakukan tarawih sambil menjaga gerai makan kami. Bukannya kami berniaga sampai tak sembahyang,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga kedai makan di Kampung Pulong Kubang Kerian, Che Sennun Che Harun, 40, berkata, pihak berkuasa berkenaan sepatutnya terlebih dahulu turun padang membuat pertimbangan dan bertanyakan pendapat daripada peniaga kedai makan terlebih sebelum mengeluarkan arahan itu dan bukan terus menguatkuasakannya secara tiba-tiba.
“Tidak dinafikan niat sebenar arahan itu adalah untuk kebaikan supaya lebih ramai orang menunaikan tarawih, namun perlu dilihat juga wanita yang kadang-kala ada waktu bercuti atau datang bulan.
“Mereka ini boleh sahaja menjaga kedai, sementara kaum yang lain bertarawih selain itu perlu timbang masa selepas jam 10 malam itu sudah agak lewat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!