Konsert Blackpink di Vietnam diteruskan
JELAJAH Dunia Blackpink 2023 akan diteruskan seperti yang dirancang di Stadium My Dinh di Hanoi selama dua hari bermula 29 Julai.
Blackpink dijangka menarik 67,000 penonton, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik pengumuman Jawatankuasa Rakyat Hanoi pada Selasa.
Menurut pengumuman itu, jawatankuasa berkenaan menugaskan jabatan, agensi, polis bandar raya dan pihak pentadbir Hanoi untuk mengatur pelan bagi memastikan keselamatan semasa persembahan.
Jabatan Kesihatan turut diminta menyediakan pelan kesihatan, khususnya berkaitan pencegahan dan kawalan penyakit.
Selain itu, unit yang berkaitan diminta memantapkan komunikasi untuk acara kebudayaan antarabangsa, mempromosikan imej Vietnam sebagai destinasi mesra yang sesuai bagi penganjuran acara politik, kebudayaan, sukan dan antarabangsa. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!