Payung Rahmah diperkenalkan Salahuddin akan diteruskan - Fuziah

Salahuddin
Salahuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meneruskan dan memastikan Inisiatif Payung Rahmah yang diperkenalkan oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaksanakan dengan terancang demi kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, semoga pelaksanaan itu secara berterusan akan menjadi sebahagian daripada amal jariah yang terus mengalir untuk Salahuddin.

“Sesungguhnya pemergian Allahyarham secara mendadak meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada kita semua terutama rakyat yang telah menikmati manfaat dari legasi Allahyarham menerusi Inisiatif Payung Rahmah.

“Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada KPDN, rakyat dan negara kerana kepimpinan beliau banyak memberi impak positif kepada usaha-usaha menangani isu kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Ahli Parlimen Pulai itu disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah pada 23 Julai pada jam 9.23 malam ketika masih dalam Unit Rawatan Rapi HSB dan berita kematian beliau diumumkan oleh anaknya, Fatihah Salahuddin menerusi perkongsian di Facebook.

Fuziah
Fuziah

Pada masa sama, Fuziah turut menzahirkan rasa syukur terhadap kerjasama yang diberikan oleh pelbagai pihak terutamanya pengurusan dan barisan pegawai perubatan HSB. Seterusnya, pegawai KPDN di semua peringkat yang telah menyelaraskan kerja diperlukan bagi melancarkan pengurusan dan pengebumian.

“Terima kasih juga kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang bersetuju menyediakan perkhidmatan pengangkutan udara khas untuk membawa jenazah Allahyarham dari Alor Setar ke Johor.

“Begitu juga dengan kru dan kakitangan Malaysia Airlines Bhd (MAS) dan Lapangan Terbang Alor Setar serta Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor yang telah menguruskan pemindahan jenazah dari Alor Setar hingga ke Tanjung Piai,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fuziah turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!