'Kalau ada bukti, tunjuk pada saya' - Tun M
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering menuduh tetapi enggan mendedahkan bukti apabila diminta.
Ujar Dr Mahathir, Ahli Parlimen Tambun itu perlu menunjukkan bukti-bukti kukuh dan bawa pada perbicaraan di mahkamah sekiranya ingin mendakwa beliau mencuri wang atau harta daripada rakyat.
"Dia kata dia ada bukti berkotak-kotak, tulisan-tulisan bukti pun ada. (Anwar kata) akan tunjuk tetapi bila saya minta tunjuk dia kata tidak boleh, rahsia.
"Kalau awak ada (bukti) tunjuk la pada saya. Tunjuk (bukti) saya curi duit sebab kita tahu ada orang curi duit, dihadap ke mahkamah, dibicara dan dimasukkan di dalam penjara.
"Kalau saya curi duit, tunjuk (bukti) secara terang yang saya curi duit, boleh bawa saya pergi mahkamah adakan perbicaraan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika di Townhall Bicara Negarawan dan Agamawan untuk Rakyat Malaysia di Dewan i-City Convention Centre, i-City Central Walk pada Selasa.
Pada Isnin, media melaporkan Anwar memberi amaran kepada seorang pemimpin politik sama ada memulangkan semula harta yang didakwa dicuri atau bersedia untuk disiasat.
Perdana Menteri itu berkata, beliau akan mengarah pihak berkuasa untuk menyiasatnya sekiranya pemimpin tersebut gagal berbuat demikian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!