Kelemahan pemerkasaan ekonomi orang Melayu boleh diatasi - Tun M

Dr Mahathir (dua dari kiri) ketika dalam program Townhall Bicara Negarawan dan Agamawan untuk Rakyat Malaysia di Dewan i-City Convention Centre, i-City Central Walk pada Selasa.
Dr Mahathir (dua dari kiri) ketika dalam program Townhall Bicara Negarawan dan Agamawan untuk Rakyat Malaysia di Dewan i-City Convention Centre, i-City Central Walk pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kelemahan orang Melayu dari segi pemerkasaan ekonomi boleh diatasi sekiranya terdapat alternatif dari segi latihan perniagaan disediakan kepada mereka.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu sepatutnya perlu menjana kekayaan melalui bidang perniagaan.

"Budaya kita bukan budaya meniaga, budaya kita lain daripada itu.

"Sebab itu kita tidak cekap dalam perniagaan, ini boleh diatasi kerana kita boleh buat latihan sehingga mereka cekap dalam perniagaan.

"Hari ini, ada banyak tindakan-tindakan yang merugikan orang Melayu sebab itu kita dapati mereka ketinggalan. Insya-ALLAH kalau diberi peluang, kita tahu cara-cara untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Townhall Bicara Negarawan dan Agamawan untuk Rakyat Malaysia di Dewan i-City Convention Centre, i-City Central Walk pada Selasa.

Turut hadir adalah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menegaskan bahawa negara dapat mengatasi masalah-masalah yang ada termasuk kemerosotan ekonomi sekiranya tidak ada penglibatan kerajaan kakistokrasi.

"Harus kita ingat bahawa dahulu kita menghadapi lebih banyak masalah, dan kita bukan sahaja dapat mengatasi, sebaliknya kita lebih daripada itu sehingga kita menjadi contoh kepada negara-negara lain.

"Jadi saya yakin kalau kita tidak ada kerajaan kakistrokrasi, insya-ALLAH kalau kita jadi kerajaan, kita susun cara-cara bagaimana kita akan atasi rintangan rintangan yang menyebabkan negara kita hari ini menghadapi ekonomi yang tidak baik," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!