Tak semenggah kalau guru kena saman sebab ponteng kelas

Gambar hiasan - Foto123RF
Gambar hiasan - Foto123RF
A
A
A

PELAJAR menang saman ke atas guru ponteng kelas memang pelik bunyinya. Tetapi itulah yang berlaku di Sabah minggu lalu. Tiga pelajar sekolah berkenaan failkan saman terhadap guru Bahasa Inggeris mereka yang tidak datang mengajar selama tujuh bulan pada 2017.

Pelajar tersebut mendakwa disebabkan perbuatan guru itu, mereka gagal subjek berkenaan dalam peperiksaan SPM. Mereka menang kes ini dan hakim perintahkan pelajar terbabit diberikan pampasan RM50,000 seorang akibat trauma, kesan guru tak masuk kelas.

Seingat Merak Jalanan, ini perkara baharu dalam bidang pendidikan dan kehakiman. Belum pernah terjadi dalam sejarah, murid saman guru tak masuk kelas dan mereka menang.

Daripada komen-komen, ada juga yang mempertahankan guru itu tetapi ramai yang menyokong pelajar berkenaan.

Merak Jalanan sentiasa menyanjung tinggi profesion guru, namun dalam kes ini, guru tersebut memang salah. Macam mana sampai tujuh bulan tak masuk kelas sedangkan dia wujud.

Lainlah kalau ada masalah kesihatan atau ada alasan lain. Lebih menghairankan, pihak sekolah dan pejabat pendidikan tak pula ambil apa-apa tindakan.

Merak Jalanan harap ini cuma kes terpencil di sekolah. Guru-guru harus ambil iktibar. Penjawat awam, pekerja syarikat malah wakil rakyat, jadikanlah ia pengajaran. Jalankan amanah yang diberi sebaik mungkin. Kita dibayar gaji untuk bekerja, bukan untuk ponteng.

Kes guru ponteng ini juga mirip insiden kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Selangor yang diisytiharkan kosong Februari lalu selepas ADUN kawasan itu dilucutkan sebagai wakil rakyat gara-gara tidak hadir persidangan DUN selama enam bulan.

Apa pun, kalau kita laksanakan tanggungjawab, tiada apa yang perlu ditakutkan. Kalau tidak, Merak Jalanan bimbang tidak mustahil akan ada lagi guru disaman murid, pekerja syarikat disaman pelanggan atau wakil rakyat disaman oleh pengundi mereka sendiri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!