Lima beradik ziarah kubur ibu bapa setiap hari 'lepas rindu'
KUALA KRAI - Tanah perkuburan yang terletak betul-betul bersebelahan rumah menjadi pengubat rindu lima beradik yatim piatu apabila dapat menziarahi pusara arwah ibu bapa mereka pada setiap hari
Adik-beradik itu ialah Nuriman Hakim Azmi, 22, Nur Insyirah, 20, Nor Izyani, 18, Nur Amalyn, 12, dan Nur Ilya Akma, 9, yang kehilangan bapa mereka, Azmi Mat Yaacob akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2020.
Lebih menghibakan, ibu mereka, Rosmane Che Mashor pula menyusuri jejak suaminya, meninggal dunia setahun selepas itu akibat Covid-19.
Dua minggu sebelum pemergian Rosmane, ibunya, Sabariah Mohamad yang juga nenek adik-beradik berkenaan terlebih dahulu turut meninggal dunia akibat pandemik sama.
Nuriman Hakim berkata, kini tanggungjawab menjaga dan melindungi adik-adik tergalas di bahunya dengan Nur Amalyn dan Nur Ilya Akma masih bersekolah di darjah enam serta satu di Sekolah Kebangsaan Sungai Sam.
Katanya, bapa saudara, Mohd Fadli Mat Yaacob,39, juga adik kepada arwah bapa mereka menjadi tempat adik-beradik itu untuk menumpang kasih dan berlindung selepas menjadi yatim piatu.
“Nur Insyirah baru ke Bangi, Selangor pada Mac lalu dan bekerja kilang di sana, sementara Nor Izyani baharu lepas menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Selain Nur Insyirah, kami adik-beradik kini tinggal di rumah bapa saudara yang terletak bersebelahan dengan tanah perkuburan tempat ibu bapa kami disemadikan dan dapat menziarahi kubur mereka pada setiap hari jika berasa rindu,” katanya ketika ditemui di Jalan Kubur, Kampung Sungai Sam, di sini, pada Selasa.
Ujar pemuda itu, pelbagai pekerjaan dilakukan olehnya seperti pembersihan, membawa lori pasir dan mengambil upah mengangkut getah sebelum memperoleh kerja sebagai penghantar barang sejak Januari lalu dengan pendapatan RM1,500 yang akan digunakan untuk menyara mereka adik-beradik.
“Kami ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM400 sebulan namun kali terakhir menerima bantuan itu pada Oktober tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, menurut Mohd Fadli, adik-beradik itu akan terus tinggal bersamanya walaupun dia sendiri berpendapatan tidak tetap dengan pekerjaan mekanik iaitu sekitar RM800 sebulan.
Katanya, pada masa sama dia perlu menyara isteri dan empat anak mereka yang berusia berusia 13, 11, 7 serta 3 tahun.
“Tiga anak saya bersekolah tetapi saya tetap akan ikhtiar untuk menjaga kebajikan anak-anak saudara saya ini yang sudah kehilangan ibu bapa mereka.
“Saya akan bergilir-gilir dengan Nuriman Hakim dalam menyediakan wang saku bagi perbelanjaan adik-adiknya ke sekolah,” ujar lelaki itu.
Dalam pada itu, hasil semakan, yatim piatu ini pernah menerima bantuan Baik Pulih Rumah Kediaman RM10,000 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan pada tahun 2021.
Bagi orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan ke akaun Nuriman Hakim Azmi Agro Bank 2006701000351586 atau hubunginya di talian 012-9000508.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!