Tiga sekeluarga termasuk bayi dua bulan maut nahas
DUNGUN - Tiga sekeluarga termasuk bayi berusia dua bulan maut dalam kemalangan setelah kereta dinaiki terbabas di Kilometer 375.8, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Bukit Besi, di sini pada petang Selasa.
Mangsa, Nik Muhammad Zayyan Irfan Zulhilmi Ismail bersama ibunya, Raja Nurhanani Nabila Raja Hussin, 23 dan neneknya, Noreha Mohamed, 53 meninggal dunia dalam nahas yang berlaku kira-kira jam 6.25 petang.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah, berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 7.30 malam.
Katanya, sebelum kejadian, lima sekeluarga itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Kelantan untuk menghantar Raja Nurhanani dan bayinya pulang ke Kem Tentera Darat Batu 10, Kuantan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira dipandu adik mangsa, Raja Haikal Najmi dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar kotak pembetung yang berada di sebelah kiri jalan lalu terbalik," katanya
Susulan itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang dikejarkan ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan kesemua mangsa.
Baharudin memberitahu, Nik Muhammad Zayyan bersama neneknya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, katanya Raja Nurhanani yang merupakan penyelia asuhan meninggal dunia jam 10.30 malam ketika menerima rawatan di unit kecemasan Hospital Hulu Terengganu.
"Dua lagi mangsa yang merupakan adik kepada Raja Nurhanani iaitu Raja Haikal Najmi, 20, patah kaki sebelah kanan dan Raja Nurhumairaa Nadzirah, 17, patah bahu sebelah kiri.
"Mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan," katanya.
Menurut Baharudin, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!