Tun M yakin masalah hutang negara boleh diatasi

Dr Mahathir (dua kiri) bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada program Townhall Bicara Negarawan dan Agamawan Untuk Rakyat Malaysia di Dewan Konvensyen I-City pada Selasa.
Dr Mahathir (dua kiri) bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada program Townhall Bicara Negarawan dan Agamawan Untuk Rakyat Malaysia di Dewan Konvensyen I-City pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin negara masih boleh diselamatkan daripada bebanan hutang yang banyak.

Beliau berkata, dengan mengetahui punca sebenar berserta bukti kukuh dan perancangan yang baik sebarang masalah dihadapi negara akan dapat diatasi.

"Boleh kalau kita tahu apa dia masalahnya, saya dilatih sebagai seorang doktor, doktor kalau hendak ubat orang mesti tahu apa penyakitnya.

"Untuk menentukan apa penyakit itu kita kena ada tanda-tanda tertentu dan bukti yang cukup untuk kita kenal pasti penyakit atau pun masalah.

"Lepas itu baru kita dapat rancang cara-cara untuk mengatasi masalah," katanya ditemui pada program Townhall Bicara Negarawan dan Agamawan Untuk Rakyat Malaysia di Dewan Konvensyen I-City di Seksyen 7 di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita sama ada negara masih boleh diselamatkan daripada menanggung bebanan hutang yang banyak ketika ini.

Dr Mahathir menambah, beliau yakin Perikatan Nasional (PN) mampu untuk mengatasi masalah berkenaan berbanding kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

"Saya yakin kita boleh tapi kerajaan kita (sekarang) jadi macam kerajaan 'kakistokrasi' nak sebut (perkataan itu) pun tak boleh (susah)," katanya.

Sabtu lalu, Dr Mahathir ketika berucap pada Program Munajat Rakyat Kelantan Ppkat Pertahan di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, Kelantan melabelkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kakistokrasi atau tidak tahu mentadbir.

Negarawan ulung itu berkata, hal ini kerana Anwar hanya tahu ‘berbohong’ dan situasi itu dapat dilihat setiap hari.