Warga emas simpan, jual LPG tanpa lesen
TAIPING - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 81 tong gas petroleum cecair (LPG) yang disimpan dan dijual tanpa lesen di sebuah premis di Taman Desa Jana, Kamunting di sini pada Selasa.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN negeri, Mohamed Aznanshah Khalid berkata, pemeriksaan dilakukan selepas menerima aduan berhubung aktiviti penjualan LPG di kawasan perumahan.
"Pasukan menemukan sejumlah tong silinder gas LPG 14 kilogram dengan nilai dianggarkan berjumlah RM8,714.60.
"Seorang lelaki tempatan berusia 66 tahun disyaki pemilik premis berada di tempat kejadian dipercayai sedang bersiap sedia untuk membuat edaran penjualan gas di kawasan terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut beliau, kesemua tong gas itu kemudiannya disita untuk siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
"Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.
"Peniaga barang kawalan diingatkan menjalankan perniagaan LPG, petrol dan diesel di tempat dinyatakan dalam lesen kerana ia telah dinilai dari segi aspek keselamatan dan diberikan kebenaran oleh pihak bomba demi menjamin keselamatan penduduk setempat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!