Orang kanan pemberontak Rohingya ditahan

Hazeef (tiga dari kanan) bersama lima anggota ARSA ditahan dalam operasi RAB di Cox's Bazar. - Foto Agensi
Hazeef (tiga dari kanan) bersama lima anggota ARSA ditahan dalam operasi RAB di Cox's Bazar. - Foto Agensi
A
A
A

DHAKA - Pihak berkuasa Bangladesh memaklumkan penahanan anggota kanan pemberontak Rohingya yang sindiketnya didakwa terlibat dalam pembunuhan dan pengedaran dadah di kem pelarian Cox's Bazar.

Jurucakap Batalion Tindakan Pantas (RAB), Komander Khandaker Al Moin mengesahkan penahanan Hazeef Noor Mohammad, 29, yang didakwa terlibat secara langsung dalam pembunuhan pegawai Staf Perisikan Pertahanan Bangladesh (DGFI), Rizwan Rushid pada tahun lalu.

Khandaker berkata, Hazeef berpangkat komander dalam kumpulan militan Tentera Penyelamat Rohingya Arakan (ARSA).

"Hazeef mengetuai sekitar 30 anggota ARSA dan terlibat dalam pembunuhan, penculikan, pengedaran dadah dan pemerasan di kem Kutupalong.

"Dia disyaki terlibat dalam 15 pembunuhan termasuk yang menyasarkan pemimpin Rohingya," ujarnya.

Tambah Khandaker, penahanan Hazeef membawa kepada penangkapan lima lagi anggota ARSA di hutan Teknaf dan rampasan senjata api serta wang tunai.

ARSA diterajui Ataullah Abu Ammar Jununi, didakwa membunuh lawan politiknya, menjalankan pengedaran dadah dan menimbulkan suasana terancam di kem.

Penahanan Ali, abang tiri Ataullah pada tahun lalu adalah tindakan paling berprofil tinggi ke atas ahli ARSA sejak kumpulan itu dituduh membunuh ketua masyarakat Rohingya berpengaruh, Mohib Ullah selain membunuh tujuh pemimpin Islam lain.

Militan ARSA muncul kali pertama pada 2016 dan dilapor menyerang tiga pos polis di perbandaran Maungdaw dan Rathedaung diikuti lebih banyak serangan pada 2017.

Tentera Myanmar menjustifikasikan serangan itu untuk mengusir lebih sejuta penduduk Rohingya dari negeri Rakhine. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!