MRL ambil perhatian serius isu tanah mendap di Lebuhraya KL-Karak

Kerja-kerja menutup lubang akibat tanah mendap di lokasi kejadian. Foto: Facebook ECRL
Kerja-kerja menutup lubang akibat tanah mendap di lokasi kejadian. Foto: Facebook ECRL
A
A
A

KUANTAN - Pemilik Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) mengambil perhatian serius mengenai kejadian tanah mendap di Kilometer (KM) 66.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) yang berlaku pada petang Selasa.

Ia susulan kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang mengarahkan siasatan menyeluruh dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya menerusi Agensi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dengan kerjasama pihak yang terlibat selepas meninjau ke lokasi kejadian pada Rabu.

Dalam hantaran yang dimuatnaik di Facebook, East Coast Rail Link-ECRL pada Rabu memberitahu, selepas mengesan penempatan tanah melalui sistem pemantauan untuk kerja-kerja terowong bawah tanah, kontraktor EPCC segera memaklumkan kepada pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Anih Berhad untuk menutup kawasan yang terjejas kepada lalu lintas.

Pembaikan lengkap sedang berjalan dan menyasarkan ia dijangka siap pada jam 7 malam,Rabu. Foto: Facebook ECRL
Pembaikan lengkap sedang berjalan dan menyasarkan ia dijangka siap pada jam 7 malam,Rabu. Foto: Facebook ECRL

"Ini telah dilakukan sebelum tanah mendap muncul, membolehkan pelaksanaan segera langkah-langkah pengurangan yang diperlukan.

"Pasukan itu telah diselaraskan untuk memberikan sokongan mengurangkan isu tersebut. Pegawai kanan MRL dan kontraktor EPPC CCC-ECRL turut memberi taklimat kepada pihak berkepentingan yang berkaitan ( LLM, polis, bomba, Anih) mengenai kejadian itu," jelas hantaran tersebut.

Ujar hantaran itu lagi, siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar tanah mendap itu masih diteruskan.

Tambah syarikat itu, pasukan projek ECRL juga telah menghantar jentera dan tenaga manusia untuk memulakan kerja-kerja menutup mendapan tersebut di tempat kejadian.

"Selepas itu, pengisian konkrit jisim telah siap pagi ini. Pembaikan lengkap sedang berjalan dan menyasarkan ia dijangka siap pada jam 7 malam hari ini (Rabu)," jelas hantaran tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!