Kami bukan 'kem maharaja' dalam DAP - Satees

Satees (tengah) pada sidang akhbar di pejabatnya, pada Rabu.
Satees (tengah) pada sidang akhbar di pejabatnya, pada Rabu.
A
A
A

BUTTERWORTH - [DIKEMAS KINI] Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy mendakwa terdapat individu seperti 'maharaja' dalam DAP yang menentukan senarai calon untuk bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang yang akan diadakan pada 12 Ogos ini.

Enggan menyebut nama individu terbabit, Satees hanya menggelarkan pemimpin DAP itu sebagai 'maharaja' yang menggunakan kuasanya untuk membuat keputusan sendiri termasuk membelakangkan senarai yang dikeluarkan oleh setiausaha agung dan dipersetujui oleh DAP negeri.

Beliau mendakwa, Pulau Pinang diambang bahaya disebabkan tindakan 'maharaja' itu, malah ramai bekas ADUN dan Exco yang menjadi mangsanya apabila nama mereka digugurkan sedangkan telah berkhidmat dan mempunyai prestasi yang cemerlang sebelum ini.

"Saya rasa Pulau Pinang kini sedang hadapi satu bahaya yang mana ada seorang mahu buat semua keputusan.

"Saya faham senarai yang dikeluarkan oleh setiausaha agung semalam bukanlah senarai yang dipersetujui oleh negeri...walaupun mereka mendakwa ia adalah keputusan lima pimpinan tertinggi ataupun Jawatan Kerja Pusat (CEC) namun saya percaya ini adalah keputusan seorang dan kepentingan seseorang," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, pada Rabu.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan lima Exco Kerajaan Pulau Pinang dari DAP digugurkan daripada senarai calon untuk bertanding dalam PRN pada 12 Ogos ini.

Mereka ialah Exco Alam Sekitar dan Kebajikan Masyarakat, Phee Boon Poh; Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee, Exco Pelancongan dan Industri Kreatif, Yeoh Soon Hin dan Timbalan Ketua Menteri II yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Pendidikan, Sains dan Teknologi, P Ramasamy.

Selian itu, nama Satees juga digugurkan selain penyandang kerusi Pulau Tikus, Chis Lee Chun Kit dan kerusi Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid.

Mengulas lanjut, Satees berkata, beliau akur apabila namanya tidak tersenarai pada pilihan raya kali ini, namun terkilan apabila alasan yang diberikan tidak senada dengan tindakan parti.

Katanya lebih menghairankan, apabila enam daripada tujuh ADUN yang digugurkan oleh parti sebelum ini pernah menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

"Katanya mereka sedang melakukan proses peremajaan parti, kena pilih darah baharu (young blood) sedangkan saya baru berusia 38 tahun dan tempoh perkhidmatan pun baru sepenggal.

"Yang peliknya individu yang dicalonkan untuk menggantikan tempat saya berusia 45 tahun dan ada juga yang sudah berkhidmat lebih tiga penggal tapi masih dicalonkan," katanya lagi.

Beliau berkata, disebabkan dia tidak pernah menjadi pemandu dan tukang mengangkat beg pemimpin itu mungkin menyebabkan namanya digugurkan.

"Mungkin ada yang anggap saya bersuara sebab kecewa nama digugurkan...saya terima keputusan ini namun saya tidak akan berdiam diri dan akan terus bersuara kerana memang ini cara saya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!