Peniaga mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual remaja
MELAKA - Seorang peniaga kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu atas tuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang remaja bulan lalu.
Ismadi Ismail, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa telah melakukan amang seksual bukan fizikal iaitu dengan cara menunjukkan isyarat dengan gaya memegang kemaluan terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, yang juga pekerjanya.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 6.45 petang di dalam bilik di sebuah rumah di Taman Jasin Height, Jasin pada 14 Jun lalu.
Berikutan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan boleh juga didenda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak menawarkan sebarang jaminan, namun jika mahkamah mahu memberikan jaminan, pihaknya mencadangkan RM30,000.
Beliau juga memohon syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh termasuk perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Sementara itu, peguam Chua Yong Yi yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah diberikan kerana tertuduh perlu menjaga ibunya yang sakit tua dengan pendapatan RM2,500 sebulan selain kerjasama yang diberikan tertuduh termasuk datang sendiri ke mahkamah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dan bersetuju dengan semua syarat tambahan dikemukakan pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 12 September depan sebagai sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!