Bomba selamatkan budak tindih ular tedung
BAGAN SERAI - Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun melalui detik cemas apabila tanpa sedar 'baring' di atas seekor ular tedung dalam kejadian di Taman Serai Perdana, di sini pada Isnin.
Video berdurasi 19 saat yang tular di media sosial itu memaparkan ular berwarna hitam berada di bawah badan kanak-kanak itu dengan bahagian ekornya dipijak ketika berbaring di rumah pengasuhnya.
Difahamkan, pengasuh yang menyedari kehadiran reptilia itu memujuk kanak-kanak berkenaan tidak melakukan sebarang pergerakan sementara menunggu ketibaan pasukan bomba.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, panggilan bantuan menangkap ular diterima pada jam 11.28 pagi.
"Semasa tiba di lokasi kejadian didapati kanak-kanak itu sedang berbaring dan menindih ular tedung yang panjangnya 0.4 meter.
"Anggota bertindak menangkap ular manakala seorang lagi anggota mengangkat mangsa," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Menurut beliau, pemeriksaan fizikal mendapati tiada sebarang kecederaan pada mangsa dan diserahkan semula kepada pengasuh.
"Ular terbabit kemudiannya dilepas semula ke habitat asalnya yang jauh daripada penempatan penduduk," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!