RTK 2.0: Majikan di Sarawak dibenar ambil PATI jadi pekerja 3D
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala dalam kenyataan berkata, program RTK 2.0 itu akan dilaksanakan sehingga 31 Disember ini.
"Majikan yang beroperasi dalam sektor 3D adalah dibenarkan untuk mengambil pendatang tanpa izin dengan mendaftarkan mereka sebagai pekerja dalam tempoh pelaksanaan ini.
"Sektor-sektor yang terlibat adalah perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian, perkhidmatan, perlombongan dan kuari serta pembantu rumah asing,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, hanya pendatang tanpa izin dari 16 negara sahaja yang dibenarkan di bawah program ini iaitu individu dari Indonesia, Bangladesh, Thailand, India, Filipina, Kemboja, Laos, Nepal, Myanmar, Sri Lanka, Vietnam, Pakistan, Turkmenistan, Uzbekistan, Kazakhstan dan China.
Maklumat lanjut berhubung program tersebut boleh didapati di portal rasmi Jabatan Imigresen Malaysia di www.imi.gov.my. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!