Jangan pandang ringan keputusan PRK Sandakan: Anwar

Anwar (kiri) berkata sesuatu kepada calon DAP Vivian Wong Shir Yee (kanan) sewaktu menghadiri Majlis Ceramah Umum Kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen P186 Sandakan di Bandar Prima malam ini. -Foto Bernama
Anwar (kiri) berkata sesuatu kepada calon DAP Vivian Wong Shir Yee (kanan) sewaktu menghadiri Majlis Ceramah Umum Kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen P186 Sandakan di Bandar Prima malam ini. -Foto Bernama
A
A
A

SANDAKAN - Pengundi di Parlimen Sandakan tidak harus memandang ringan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan itu yang boleh menyumbang kepada masa depan negara.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini kerana Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) memperjuangkan polisi telus dan memerangi rasuah dalam mentadbir negara.

"Justeru perlu sokongan rakyat Sandakan bagi memastikan kemenangan calon DAP di PRK Sandakan (Vivian Wong Shir Yee) agar polisi dipegang PH dilaksanakan dalam melaksanakan pembangunan termasuk di kawasan Parlimen Sandakan.

"Kejayaan paling baik kerajaan PH adalah memastikan negara dijaga dan tiada mana-mana pemimpin curi duit negara dan jika ada akan dibuang," katanya pada Ceramah Umum DAP sempena PRK Sandakan di sini, malam ini.

Hadir sama Wong (Vivian), Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew dan beberapa pemimpin DAP pusat dan negeri termasuk Penasihat DAP Lim Kit Siang. Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata soal keselamatan di daerah ini perlu terus diberi perhatian oleh kerajaan yang menentukan perkembangan ekonomi dan perniagaan.

Katanya ekonomi di daerah ini perlu berkembang terutama membabitkan perdagangan tukar barang.

"Saya yakin kerajaan akan menyelesaikan isu ini dengan baik dengan memastikan tiada rompakan dan kejadian penculikan berlaku di kawasan timur negeri ini," katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata kejayaan PH mengambil alih kerajaan merupakan satu kejutan dalam menukar sistem pentadbiran negara kepada sistem baharu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya sejarah penting ini harus dijaga dengan rakyat mesti bersatu dan kuat bersama kerajaan menyelesaikan masalah hutang negara yang ditinggalkan kerajaan sebelum ini.

Katanya inilah cabaran dihadapi oleh kerajaan diterajui PH yang mengambil alih pemerintahan negara pada Pilihan Raya Ke-14 lepas, tanpa mengetahui hutang banyak ditanggung negara disebabkan pemimpin tidak telus dan amanah. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

Artikel Disyorkan