JKKP tawar latih penilaian risiko kepada guru

Mustapha (kanan) melihat pameran sempena Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Negeri Kedah di Gurun pada Rabu.
Mustapha (kanan) melihat pameran sempena Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Negeri Kedah di Gurun pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kementerian Sumber Manusia menerusi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bersedia menawarkan kepakaran dalam aspek penilaian risiko di tempat kerja termasuk sekolah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Ts Mustapha Sakmud berkata, ia juga bertujuan memastikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan dipertingkatkan sekali gus menjamin keselamatan murid dan pelajar.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) berkata, langkah itu juga sebagai menyahut saranan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mengarahkan semua sekolah melakukan penilaian risiko bagi memastikan infrastruktur dan kemudahan lain berada dalam keadaan selamat.

"Kita bersedia untuk berkongsi kepakaran kepada guru supaya mereka boleh buat penilaian risiko sendiri," katanya.

Mustapha (tiga kanan) menyampaikan Anugerah PCFKSB dan Sijil JKKP di Gurun, Kedah.
Mustapha (tiga kanan) menyampaikan Anugerah PCFKSB dan Sijil JKKP di Gurun, Kedah.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutup Health, Safety and Environmental (HSE) & Sustainability Day Petronas Chemicals Fertiliser Kedah Sdn Bhd (PCFKSB) bagi tahun 2023 di Gurun pada Rabu.

Majlis yang diadakan sempena Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Negeri Kedah itu turut dihadiri Ketua Pegawai Pembuatan Petronas Chemicals Group Berhad, Zamri Japar dan Pengarah JKKP Kedah, Idris Abdul Rahman.

Jelas Mustapha, pendedahan dari segi pengetahuan dan latihan boleh dilaksanakan JKKP atau Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) kepada guru sekolah bagi tujuan berkenaan.

"Memang kepakaran kita adalah tentang aspek keselamatan dan kesihatan, kita ada JKKP dan NIOSH, kita boleh berikan kepakaran ini untuk melatih guru...ini akan bantu guru terangkan kepada pelajar dan buat penilaian di sekolah masing-masing berkenaan tahap keselamatan dan kesihatan di sekolah.

"Kita akan kumpul guru, buat latihan dan harap mereka akan latih guru lain untuk buat penilaian," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, saranan Kementerian Pendidikan Malaysia yang telah mengarahkan semua sekolah melakukan penilaian risiko bagi memastikan infrastruktur dan kemudahan berada dalam keadaan selamat.

Fadhlina berkata, semua sekolah juga diminta mengambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan keselamatan murid dan pelajar terjamin.

Ini susulan kejadian seorang murid perempuan Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Perpaduan di Perak yang cedera selepas tangki pam tandas jenis seramik runtuh dan menimpanya sehingga menyebabkan kecederaan.

Dalam perkembangan berbeza, jelas Mustapha, Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan diadakan bertujuan memupuk budaya kerja selamat dan sihat termasuk mengekalkan kelestarian dan kemampanan budaya keselamatan serta kesihatan pekerjaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!