Cincin legenda rap AS, Tupac Shakur dijual RM4.5 juta
NEW YORK - Sebentuk cincin mahkota emas bertatahkan delima dan berlian yang dipakai penyanyi rap, Tupac Shakur semasa melakukan persembahan terakhirnya telah dijual dengan harga AS$1 juta (RM4.5 juta) dalam acara lelongan di New York pada Selasa.
Syarikat lelongan Sotheby berkata, bidaan yang dimenangi itu melebihi anggaran pra-jualan antara AS$200,000 hingga AS$300,000 (RM911,000- RM1.3 juta) dan sekali gus menjadi artifak hip-hop paling berharga pernah dijual.
Penyanyi rap kelahiran New York itu memakai cincin tersebut semasa kemunculan terakhirnya di khalayak ramai semasa MTV Video Music Awards pada 4 September 1996.
Tupac ditembak mati oleh penyerang tidak dikenali pada 13 September tahun yang sama semasa memandu di Las Vegas. Ketika kejadian beliau berusia 25 tahun.
Sotheby berkata, Tupac yang terkenal dengan lagu hit 'California Love' telah mereka bentuk cincinnya selama beberapa bulan.
Beliau mereka bentuk mahkota raja semasa zaman pertengahan Eropah.
Cincin itu diukir 'Pac & Dada 1996' merujuk teman wanitanya Kidada Jones.
Ia sebahagian daripada lelongan menandakan sambutan 50 tahun genre itu pada Ogos depan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!