Gagal kawal penyokong, UEFA denda AZ Alkmaar

Antara insiden kekecohan penyokong yang berlaku di Stadion AFAS pada Mei lalu. - Foto AGENSI
Antara insiden kekecohan penyokong yang berlaku di Stadion AFAS pada Mei lalu. - Foto AGENSI
A
A
A

KESATUAN Bolasepak Eropah (UEFA) mengenakan denda 80,000 euro (RM403,210) terhadap gergasi Eredivisie Belanda, AZ Alkmaar berikutan insiden kekecohan penyokong pada perlawanan separuh akhir kedua Liga Konferensi menentang West Ham United pada Mei lalu.

Semasa perlawanan di Stadion AFAS, Belanda, penyokong AZ telah menyerang kawasan tempat duduk pemain ke-12 dan keluarga pemain West Ham United.

Situasi itu menyaksikan anak buah David Moyes bertindak campur tangan untuk melindungi ahli keluarga masing-masing dalam perlawanan tersebut.

Bintang The Hammers, Michail Antonio dan Said Benrahma antara mereka yang cuba menenteramkan keadaan beberapa saat selepas kelab Liga Perdana Inggeris itu mara ke perlawanan akhir.

Sebagai rekod, perlawanan separuh akhir pertama di Alkmaar, Belanda itu menyaksikan The Hammers menang 1-0 hasil jaringan Pablo Fornals minit ke-94.

Sementara itu, separuh akhir kedua skuad kendalian David Moyes menang 2-1 ke atas angkatan Cheeseheads pimpinan Pascal Jansen di London sekaligus mara dengan agregat 3-1.

Hukuman badan induk bola sepak Eropah tersebut menyaksikan kelab Belanda itu mengambil tindakan drastik mengharamkan 43 penyokong ke stadium.

AZ, yang berada dalam Liga Konferensi sekali lagi musim ini, juga telah diarah bermain satu perlawanan kejuaraan UEFA secara tertutup, walaupun sekatan itu digantung selama dua tahun.

Denda kelab itu telah dipecahkan kepada 6,115 pound (RM35,929) untuk membaling objek, 12,870 pound (RM75,618) untuk menyalakan suar.

Sementara 6,867 pound (RM40,347) pula disebabkan menyekat laluan awam dan 42,918 pound (RM252,167) gangguan orang ramai dan kegagalan untuk memastikan penonton tidak boleh bergerak dari satu sektor ke sektor lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!