'Saya hanya beri keterangan kepada SPRM, polis' - Sanusi
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan hanya akan memberikan keterangan berkaitan pelbagai tuduhan terhadap dirinya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis, bukan kepada pemimpin politik.
Beliau berkata, gesaan beberapa pemimpin politik yang mahu beliau menjelaskan secara terperinci setiap tuduhan termasuk kes unsur nadir bumi (REE) seolah mahu mengambil alih peranan pihak berkuasa yang sedang menyiasat kes berkenaan.
Menurutnya, gesaan itu tidak perlu dilayan kerana berkepentingan politik selain menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
“Tak perlu jawab sebab mereka sudah ada jawapan. Bukan kerja Menteri Besar untuk import pekerja Cina, saya kerja lain banyak, saya mentadbir negeri.
"Kerja itu dibuat oleh syarikat dan saya bukan ada kuasa eksekutif dalam syarikat-syarikat terlibat, kerja saya buat dasar kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas majlis penyerahan zakat perniagaan Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta Sanusi menjawab satu-persatu persoalan dibangkitkan berkaitan kecurian REE yang dikaitkan dengan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah.
Sementara Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid mempersoal tindakan Sanusi yang mendakwa tidak mengetahui operasi MBI sedangkan menjawat jawatan pengerusi di organisasi tersebut, selain mahu pemimpin PN itu berterus-terang dan tidak menyembunyikan 'apa-apa di bawah karpet'.
Sanusi sebaliknya menempelak kedua-dua pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan BN itu kerana telah melangkaui bidang kuasa.
“Itu bukan kerja mereka, hormatlah kerja orang. Jadi SPRM pasai apa? Jadi Menteri KDN tetapi buat kerja Menteri Kewangan, pasal apa? Jagalah petak masing-masing, berselerak dah Kerajaan Madani ni.
“Dah lantik SPRM, polis, pegawai penyiasat, kenapa orang politik tanya lagi? Sebenarnya siapa yang menyiasat? Orang politik kah atau agensi yang siasat. Itu sebab saya tak mahu layan. Mereka pula ambil alih tugas agensi,” soalnya.
Menurutnya, beliau sedia disiasat pihak berkuasa namun penyiasatan hendaklah jelas dan tidak dibayangi elemen politik.
“Bukan bermaksud saya tidak mahu disiasat. Siasatan mesti ada maksud yang jelas, kalau kabur-kabur macam ini dan kita boleh faham ada maksud lain.
“Operasi ini walaupun dilaksanakan oleh agensi kerajaan dan penguat kuasa, namun semakin hari semakin jelas, ia telah dipolitikkan. Semua orang nampak, jadi janganlah tunjuk sangat,” ujarnya.
Sanusi berharap tiada pemimpin yang cuba menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan agensi kerajaan demi kepentingan politik mereka.
“Ini agensi awam untuk negara, bukan untuk politik. Kalau untuk kepentingan parti politik, dipanggil menyalahgunakan kuasa. Boleh saja siasat saya, lama dulu ataupun kemudian, namun dibuat pada ketika ini untuk beri gambaran kepentingan politik.
“Ia menjurus kepada agensi ini disalah guna oleh kumpulan politik yang berkuasa. Tujuannya untuk menimbulkan persepsi bahawa ada salah laku. Ia tidak bagus untuk kemajuan negara kita,” jelasnya.
Menurutnya, diharap agensi kerajaan tidak bertindak berdasarkan kepada kehendak politik sepanjang kempen pilihan raya negeri (PRN).
“Mereka jaga kepentingan negara, taat kepada Yang di-Pertuan Agong, bukan kepada elit politik yang berkuasa. Kerajaan mungkin boleh berubah, kalau ia berlaku dan selepas itu orang politik yang kemudian gunakan pula (agensi kerajaan), sampai bila nak selesai?" katanya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN:
Sanusi belum dipanggil SPRM, 10 Exco Kedah turut diambil keterangan
Seorang lagi pegawai kanan Sanusi ditahan
SPRM tahan reman seorang lagi suspek kes REE
Saifuddin dakwa MBI tahu isu kecurian REE di Sik
REE: Saya belum terima kunjungan SPRM - Sanusi
REE: Sanusi perlu perjelas persoalan meragukan - Saifuddin
Sanusi saman Saifuddin isu REE, MARRIS
REE: SPRM rakam keterangan 12 saksi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!