Wrexham kejutkan Manchester United di San Diego
KELAB Liga Divisyen Dua, Wrexham mencipta kejutan apabila mengatasi sensasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United, 3-1 dalam aksi persahabatan pramusim di Stadium Snapdragon, San Diego, California.
Namun di sebalik kemenangan luar biasa diraih itu, kelab Wales kehilangan penyerang prolifik Wrexham, Paul Mullin yang mengalami kecederaan.
Mullin, 28, mengalami masalah paru-paru selepas penjaring terbanyak Wrexham musim lalu dengan 46 gol dalam semua kejohanan berlanggar dengan penjaga gol United, Nathan Bishop.
Pengurus Wrexham, Phil Parkinson, watak penting yang membawa The Red Dragons kembali ke saingan Liga Bola Sepak Inggeris selepas 15 tahun mengesahkan Mullin mengalami masalah di bahagian paru-paru.
Dalam pada itu, pemilik kelab yang juga bintang Hollywood, Ryan Reynolds menerusi ciapannya Twitter mendoakan pemain berpengaruh dalam padang tersebut segera sembuh.
“Paul Mullins berjuang sehingga titisan darahnya yang terakhir dalam apa jua yang dilakukannya.
“Seluruh keluarga besar Kelab Bola Sepak Wrexham mendoakan dia segera sembuh,” tulis Reynolds.
Dalam perlawanan itu gol Wrexham dijelmakan Elliott Lee (m-29), Aaron Hayden (36) dan Sam Dalby (69) manakala jaringan United pula yang menurunkan angkatan muda dihasilkan Marc Jurado minit 51.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!