Azmin lawan Juwairiya di Hulu Kelang
SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diumumkan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos depan.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Majlis Pengisytiharan Calon PN Selangor di Taman Medan pada malam Rabu, sekali gus menjawab desas-desus sebelum ini bahawa bekas Menteri Besar Selangor itu akan diletakkan di kerusi berkenaan.
Mohamed Azmin akan menentang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Mohamed Azmin pada PRU14 lalu bertanding di DUN Bukit Antarabangsa dan menang kerusi itu atas tiket PKR sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Kerusi DUN Hulu Kelang sebelum ini ditandingi Amanah yang bertukar kerusi DUN Batu Tiga dengan PKR.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), DUN Hulu Kelang dimenangi Saari Sungib dari Amanah mewakili PH.
Saari memperoleh majoriti 15,349 undi selepas meraih 25, 746 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ismail Ahmad (10,397) undi dan calon Pas, Farhan Kamalul Hysham (7,573) undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!