Rina antara tujuh calon wanita PN di Selangor
PETALING JAYA - Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun antara tujuh calon wanita Perikatan Nasional (PN) yang akan bersaing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos ini.
Rina yang juga bekas Ahli Parlimen Titiwangsa akan bertanding di Batu Tiga menentang calon PH-Amanah, Danial Al Rasyid.
Rina yang ditemui selepas selesai program pengumuman calon itu meletakkan keyakinan PN mampu menawan kubu kuat Pakatan Harapan (PH) seterusnya mentadbir Selangor.
Rina berkata, beliau akur dengan arahan pucuk pimpinan yang meletakkannya di Batu Tiga dalam usaha memperkukuh jentera PN di Selangor.
"Penumpuan saya adalah kos sara hidup, pemerkasaan rakyat selain isu banjir dan sebagainya.
"Persaingan ada dimana-mana, kita berjuang dengan niat ikhlas untuk bawa perubahan untuk penduduk di Batu Tiga," katanya pada Rabu.
Beliau yakin, penduduk Batu Tiga akan membuat perubahan serta berharap semua pengundi dapat menunaikan tanggungjawab pada 12 Ogos ini.
Pada Rabu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan 56 calon akan bertanding pada PRN Selangor.
Mengetuai calon PN Selangor ialah Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang akan bertanding di Hulu Kelang menentang calon PH-PKR, Juwairiya Zulkifli.
PN turut mengekalkan penyandang kerusi Sijangkang, Datuk Seri Ahmad Yunus Hairi; Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari dan Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia).
Yang Dipertua Pas Selayang, Zaidy Abdul Talib yang tewas pada PRU14, dicalonkan semula bagi kerusi Taman Templer.
Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar juga dicalonkan bagi kerusi Kota Anggerik menentang Najwan Halimi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!