Stadium Nasional sedia jadi venue Pestabola Merdeka Oktober ini
STADIUM Nasional Bukit Jalil dijangka bersedia menerima kehadiran semula skuad bola sepak Harimau Malaya untuk kempen Pestabola Merdeka yang dijadualkan bermula pada 14 hingga 17 Oktober depan.
Itu kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Faidz Sanusi berkenaan venue keramat skuad kendalian Kim Pan-gon yang dalam fasa persediaan untuk kempen pusingan akhir Piala Asia tahun depan.
Katanya, pengubahsuaian Stadium Nasional di Bukit Jalil, termasuk penanaman rumput zeon zoysia baharu, berada di landasan untuk siap pada hujung September.
“Ketika ini kerja-kerja di Stadium Nasional sudah lebih 50 peratus siap. Sistem perparitan dan paip untuk padang sudah selesai, hanya tinggal tanam rumput.
“Kita akan mula menanam rumput baharu pada 1 Ogos selepas konsert (Muse) pada Sabtu.
“Prosesnya akan mengambil masa antara tiga hingga empat minggu mengikut penjadualan lima fasa penanaman rumput,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Dalam pada itu, Faidz memaklumkan tapak semaian bersebelahan dengan Stadium Hoki Nasional juga telah lebih 50 peratus siap.
“PSM juga menyediakan tapak semaian di Bukit Jalil untuk menyediakan bekalan rumput yang berterusan untuk Stadium Nasional.
“Ini secara, tidak langsung akan mempercepatkan proses pembaikan untuk padang pada masa depan,” katanya yang memaklumkan kerja-kerja lain juga giat dilakukan di stadium termasuk baik pulih sistem elektrik, bilik dan tandas.
Sebagai rekod, Stadium Nasional sebelum ini menggunakan rumput cow grass sebelum digantikan dengan zeon zoysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!