Hilangnya spesies penyu paling berharga
PENYU merupakan khazanah negara yang tidak ternilai harganya sehingga menjadi kebanggaan rakyat Malaysia sejak sekian lama.
Kekerapan haiwan marin itu mendarat untuk bertelur di beberapa buah pantai seluruh negara telah menjadi nilai tambah kepada industri pelancongan negara.
Ramai pelancong sama ada domestik mahupun antarabangsa sentiasa mencari peluang untuk melihat sendiri empat daripada tujuh jenis penyu yang ada di negara kita.
Salah satu negeri yang menjadi tumpuan pelancong ialah Terengganu kerana ia menjadi lokasi utama pendaratan kesemua empat spesies penyu yang ada di negara kita iaitu belimbing, karah, lipas dan agar.
Justeru, tidak hairanlah kalau negeri tersebut terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia dengan jolokan tempat penyu bertelur.
Bagaimanapun, baru-baru ini Sinar Harian melaporkan, Terengganu sedang berdepan dengan kemerosotan pendaratan penyu dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Satu daripada empat penyu yang ada iaitu belimbing dilaporkan tidak lagi kelihatan mendarat di negeri itu sejak lima tahun lalu.
Data Jabatan Perikanan Malaysia merekodkan, kali terakhir penyu tersebut mendarat di Terengganu ialah pada tahun 2017 iaitu sebanyak dua kali.
Sejak itu, tiada lagi jejak penyu belimbing dikesan mendarat untuk bertelur di sekitar pantai Terengganu yang sebelum ini menjadi lokasi kegemaran haiwan marin itu.
Biarpun spesies tersebut belum diisytiharkan pupus namun negara secara amnya telah kehilangan satu spesies yang tidak ternilai harganya.
Ini kerana penyu belimbing adalah spesies terbesar dunia yang mampu mencecah dua meter panjang dengan berat maksimum 500 kilogram.
Di samping itu, penyu tersebut juga merupakan satu-satunya spesies yang kerap berpindah-randah ke seluruh dunia merentasi lautan Atlantik mahupun Pasifik.
Tidak mustahil, kehilangan penyu belimbing di Terengganu itu boleh membawa kepada kehilangan spesies lain seperti karah dan lipas di negeri tersebut.
Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Mohd Uzair Rusli berkata, negara turut berisiko tinggi untuk hilang sepenuhnya spesies tersebut kerana kedua-duanya makin sukar ditemui.
Kehilangan spesies penyu belimbing di Terengganu merupakan satu kehilangan besar kepada negara kita.
Selain menjejaskan pendapatan pelancongan, kehilangan spesies tersebut juga secara amnya mengganggu ekosistem laut di negara ini.
Menurut laporan badan perlindungan dan baik pulih pantai Amerika Syarikat, Oceana, penyu menjamin kesihatan dasar laut sejak 100 juta tahun lalu.
Laporan bertajuk Why Healthy Oceans need sea turtles: The importance of sea turtles to marine ecosystems mendedahkan, penyu penting kepada ekosistem laut kerana ia membantu proses tumbesaran batu karang dan pelestarian pantai.
Hal tersebut mungkin sukar difahami namun berlaku melalui pemindahan nutrien yang diambil oleh penyu dari dasar laut ke pesisiran pantai.
Menurut laporan tersebut, penyu akan memakan span dan rumput di dasar laut bagi membolehkan batu karang membesar, sekali gus menjadi tempat ikan membiak.
“Nutrien diambil dari dasar laut akan dibebaskan ke pantai ketika penyu bertelur kerana telur ini membekalkan nutrien seperti potasium, fosforus dan nitrogen yang diperlukan pantai.
“Nutrien yang dibekalkan melalui telur penyu ini akan membantu menyuburkan tumbuhan di pantai yang berperanan melindungi pesisir pantai,” menurut laporan itu lagi.
Justeru, penting untuk kita terus memelihara spesies penyu yang ada di negara kita daripada terus lenyap.
Ini kerana peranan haiwan marin itu jelas menjaga kesihatan dan kelestarian laut selain menambah warna keunikan marin tempatan yang menjadi produk pelancongan.
Oleh yang demikian, hentikan kegilaan memakan telur penyu kerana ia boleh menyebabkan haiwan marin itu pupus. Jangan cemari laut dengan sampah sarap kerana perbuatan tersebut boleh mengancam nyawa penyu untuk terus tinggal dan bertelur di negara kita.
Dua perkara ini adalah hal paling mudah untuk dilakukan oleh orang awam seperti kita bagi membantu negara menjaga spesies penyu yang ada di negara kita agar kehilangan spesies haiwan marin itu tidak berulang lagi.
*Hafezdzullah Mohd Hassan ialah Wartawan Sinar Premium.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!