Op Tiris: Pemilik stesen minyak langgar arahan kena tindakan
LUMUT - Pemilik sebuah stesen minyak dikenakan tindakan penguatkuasaan selepas disyaki melanggar arahan dengan membenarkan individu membuat pengisian minyak diesel bersubsidi ke dalam tong di Seri Manjung pada Rabu.
Pemeriksaan Op Tiris yang dijalankan pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Manjung itu mendapati sebanyak 690 liter minyak diisi ke dalam empat tong drum dan dua tong plastik di bahagian belakang sebuah lori kargo am.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN negeri, Mohamed Aznanshah Khalid berkata, pemilik stesen disiasat kerana disyaki tidak mematuhi Arahan Pengawal Bekalan mengenai penjualan minyak diesel tidak melebihi 250 liter bagi satu transaksi.
Menurut beliau, pemandu lori warga tempatan berusia 44 tahun turut ditahan kerana melakukan pembelian tanpa kebenaran atau permit yang sah.
"Lelaki itu mendakwa pembelian minyak diesel tersebut adalah untuk kegunaan mesin atau jentera kuari mengorek tanah merah di Segari dekat sini.
"Semakan awal mendapati kuari ini tiada tangki skid dan permit untuk menyimpan barang kawalan minyak diesel. Pembelian minyak ini dianggarkan sebanyak 400-500 liter setiap hari," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mohamed Aznanshah berkata, kesemua tong yang mengandungi minyak diesel dan lori bernilai RM26,483.50 disita untuk siasatan lanjut.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!