Malaysia sasar di kedudukan 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2033

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Malaysia menyasar meningkatkan ekonominya menjadi antara 30 ekonomi terbesar di dunia dalam tempoh 10 tahun, naik ke tangga ke-30 daripada kedudukan ke-37 dalam data Bank Dunia pada 2022 dengan menumpukan kepada penyerantauan dan daya saing yang lebih besar dan meningkatkan rantaian nilai, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, tumpuan utama adalah untuk menstruktur semula ekonomi bagi menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia.

"Jika kita hanya berpuas hati dengan keadaan sekarang, ekonomi akan terus mencatat pertumbuhan antara 4 hingga 5 peratus.

"Namun, jika kita berusaha gigih dan melaksana pembaharuan, kita mampu mencapai 5.5 peratus, malah saya percaya adalah tidak mustahil untuk kita menghasilkan pertumbuhan 6 peratus,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasakan Rakyat di sini pada Khamis.

Hadir sama pada majlis itu adalah jemaah menteri, agensi kerajaan, pakar ekonomi dan tokoh industri.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, negara perlu membentuk integrasi ekonomi yang lebih besar dengan negara jiran ketika dunia sedang berdepan dengan kekangan rantaian bekalan.

"Maka, kita perlu melahirkan lebih banyak syarikat tempatan yang berdaya saing tinggi untuk menembusi pasaran rantau Asean,” katanya.

Perdana Menteri berkata, usaha kerajaan perlu melangkaui perjanjian perdagangan bebas.

"Misalnya melalui diplomasi perdagangan dan pengaturan strategik yang boleh mengembangkan integrasi pasaran bilateral dan multilateral serta memudahkan pergerakan barang, modal, modal insan dan perkongsian teknologi dengan negara jiran,” katanya.

Selain meletakkan Malaysia sebagai antara 30 ekonomi terbesar dunia, Anwar berkata, Ekonomi Madani juga menetapkan enam penanda aras lain yang mahu dicapai dalam tempoh 10 tahun.

Ia termasuk Indeks Daya Saing Global berada di tangga ke-12 teratas dunia, peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan (sasaran RMKe-12 adalah 40 peratus menjelang 2025), kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60 peratus, Indeks Pembangunan Manusia berada di tangga 25 teratas dunia, Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia dan kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai 3 peratus atau lebih rendah.

Beliau berkata, kerajaan akan memperkenalkan insentif cukai berasaskan pencapaian bagi mendukung dan memberi ganjaran kepada syarikat yang menumpukan aktiviti berdampak tinggi.

"Kita mesti melaksanakan pembaharuan supaya Malaysia dapat tergolong antara 12 ekonomi terbaik di dunia dari segi daya saing dan kemudahan menjalankan perniagaan.

"Kita perlu memperhebat usaha bagi memastikan lebih banyak lagi memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan,” katanya sambil mengiktiraf komitmen pelaburan antaranya oleh Sumitomo Corporation, Tesla, Geely, Rongsheng dan Samsung Engineering.

Dalam usaha merangsang ekonomi tempatan, Anwar berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu terus memacu pelaburan langsung domestik, dan menyokong pembangunan vendor tempatan dalam sektor strategik seperti elektrik dan elektronik, ekonomi digital dan aeroangkasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan bersama-sama dengan GLIC akan melabur dana tambahan sebanyak RM1 bilion secara padanan dengan dana swasta bagi menyokong syarikat pemula tempatan dan mendorong usahawan teknologi.

Geran padanan digitalisasi akan ditambah sebanyak RM100 juta bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana menyegerakan peralihan model perniagaan kepada lebih digital, katanya.

Menurutnya, kerajaan akan turut menambah peruntukan RM400 juta untuk pinjaman mikro di bawah agensi termasuk SME Corporation, Tekun, Mara dan Teraju bagi mendukung peluang keusahawanan.

Perdana Menteri berkata, keutamaan kerajaan dalam tempoh terdekat adalah untuk membina semula kapasiti fiskal negara, sambil menyatakan peratusan hasil cukai ketimbang (berbanding) Keluaran Dalam Negara Kasar telah menurun kepada 12 peratus -- paling rendah dalam kalangan negara-negara serantau.

"Walaupun pembaharuan fiskal diperlukan, kerajaan ini menjamin tidak akan sekali-kali mengabaikan nasib rakyat dalam menghadapi cabaran kos sara hidup dan akan terus menyediakan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Bantuan khas RM300 kepada penjawat awam, RM200 pesara

Malaysia sasar di kedudukan 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2033

Kerajaan setuju tawar kredit e-tunai RM100 kepada rakyat

Kerajaan, GLIC labur RM1 bilion dana tambahan sokong syarikat pemula tempatan

Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat angkat dua tumpuan utama

Ekonomi Madani tetapkan tujuh penanda aras - PM

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!