Peluang miliki rumah kali pertama
Pada Disember 2007, kerajaan telah menubuhkan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan bagi mengatasi kesukaran yang dialami golongan tidak berpendapatan tetap seperti petani dan peniaga kecil untuk membeli rumah kediaman pertama mereka.
Penubuhan syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan itu bertujuan untuk mendapatkan kemudahan kewangan kepada yang berkelayakan daripada institusi-institusi kewangan terlibat melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).
Bagaimanapun, bermula 1 April lepas kerajaan telah meluaskan sasaran SJKP dengan merangkumi kedua-dua golongan berpendapatan tetap dan tidak tetap seperti pekerja ekonomi gig dan bebas, pemilik perniagaan, peniaga atau usahawan kecil yang berkelayakan untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan gadai janji itu.
Bagi menyatakan komitmen terhadap SJKP, kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2023 bersetuju memperuntukkan sebanyak RM5 bilion sebagai manfaat kepada 20,000 peminjam yang memerlukan.
Permohonan adalah terbuka kepada mereka yang mempunyai pendapatan tidak melebihi RM11,000 dan mampu membayar ansuran bulanan dengan had jaminan sehingga RM500,000.
Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim menyifatkan SJKP sebagai inisiatif yang sangat baik dan selaras dengan ajaran Islam, meletakkan tempat tinggal sebagai satu keperluan ataupun daruriyyat.
Tambah beliau, meskipun ia mempunyai risiko kegagalan membayar balik pinjaman perumahan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap dan slip gaji, golongan itu turut terdedah kepada keadaan ekonomi mencabar yang mempengaruhi pendapatan mereka kelak.
Justeru katanya, bagi mengurangkan risiko dan dalam masa sama meningkatkan bilangan mereka yang ingin memiliki rumah melalui skim SJKP itu, disyorkan supaya nilai kediaman ingin dimiliki dihadkan antara RM250,000 dan RM300,000 sahaja.
“Jika ini berjaya dilaksanakan, maka lebih ramai individu M40 mampu memiliki rumah pertama walaupun mereka tidak mempunyai pendapatan tetap atau slip gaji kerana risiko ketidakupayaan membayar balik pinjaman dan pembiayaan adalah rendah.
“Selain itu, pinjaman dan pembiayaan yang boleh melibatkan dua generasi ini mampu memberi kelegaan kepada peminjam untuk melangsaikan hutang dalam jangka masa panjang iaitu 35 tahun. Jadi risiko ketidakupayaan membayar itu menjadi rendah,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, beliau menasihati pemohon supaya bijak memanfaatkan skim berkenaan dengan memastikan kediaman bakal dibeli itu, strategik dan mempunyai potensi nilai aset tinggi bagi menjadikan pelaburan di masa hadapan.
Menurutnya, pemohon juga perlu memastikan pendapatan mencukupi dan tiada komitmen bulanan lain atau sekurang-kurangnya komitmen tidak lebih daripada 65 peratus gaji untuk memohon SJKP.
Selain itu, katanya, segala perbelanjaan pemohon yang bersifat kehendak atau tidak perlu, hendaklah dikurangkan, sebagai contoh penggunaan kad kredit, pinjaman peribadi dan sebagainya supaya tidak menjadi liabiliti.
“Sekiranya kekangan pendapatan menjadi halangan, maka hutang boleh dilakukan dalam jangka masa yang panjang supaya bayaran bulanan dapat diminimumkan manakala nilai aset rumah pula sentiasa meningkat.
“Peningkatan nilai aset ini sebenarnya merupakan pelaburan tidak langsung oleh penghutang di masa akan datang.
“Yang lebih mustahak lagi adalah memastikan tiada rekod buruk dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan Data Systems Sdn Bhd (CTOS). Pemohon perlu menjadikan permohonan di SJKP ini ibarat ‘sambil menyelam minum air’,” kata Dr Mohd Faisol.
Layari belanjawan.mof.gov.my/manfaat untuk mengetahui lebih lanjut cara mendapatkan manfaat daripada inisiatif ini dan meneroka lebih banyak peluang yang ditawarkan kerajaan kepada rakyat.
#Belanjawan2023
#BelanjawanMADANI
REAKSI RAKYAT
“Saya berharap agar dengan adanya skim sebegini, ia dapat membantu lebih ramai rakyat Malaysia di ibu kota yang tiada pendapatan tetap membeli rumah pertama mereka.” - Eksekutif Sumber Manusia, Muhammad Harith Hasmy, 26.
“Saya harap tawaran ini boleh membantu dalam mengusahakan golongan berpendapatan rendah dan tidak tetap untuk mempunyai rumah hak milik sendiri.” - Pekerja Swasta, Suzafirah Mohamad Isa, 27.
“Saya bersetuju dengan tawaran ini tetapi saya berharap kerajaan lebih mengutamakan golongan yang berpendapatan tidak tetap kerana sudah pasti golongan ini lebih memerlukan.” - Usahawan Kecil, Norizwan Hamzah, 25.
“Saya harap skim ini dapat membantu para graduan yang baru sahaja mendapat kerja untuk memiliki rumah pertama. Diharapkan proses untuk memohon skim ini tidak terlalu rumit.” - Pegawai Media Politik, Muhamad Hafiz Mohd Arif, 24.
Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP)
- Warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas. Pinjaman dua generasi dibenarkan.
- Diperluas sasaran untuk golongan berpendapatan tetap dan tidak tetap bermula 1 April 2023 untuk memiliki rumah pertama mereka yang bernilai sehingga RM500,000.00.
- Pembelian kali pertama rumah kediaman baru atau rumah sedia ada atau rumah lelongan yang di bawah kategori kos rendah atau sederhana atau mampu milik dan untuk didiami.
- Pendapatan pemohon mestilah tidak melebihi RM11,000 dan mampu membayar ansuran bulanan dengan had pembiayaan sehingga RM500,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!