PUO tandatangan kolaborasi bersama 18 industri, agensi
IPOH - Politeknik Ungku Omar (PUO) menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik bersama 18 agensi dan pihak industri di negeri ini bagi perkongsian dua hala dalam aspek kepakaran dan penyediaan latihan.
Pengarah PUO, Dr Shamsuri Abdullah berkata, kerjasama membabitkan sektor perkilangan, perniagaan dan perkhidmatan serta kerajaan itu sebagai usaha penting dalam meningkatkan kualiti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
"Kerjasama ini membolehkan penyediaan tempat latihan industri pelajar dan sangkutan industri untuk pensyarah, perkongsian kepakaran industri sebagai pensyarah pelawat, sumbangan peralatan dan geran penyelidikan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Media, Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Penasihat Industri dan Menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik di Dewan Jubli PUO dekat sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Trans Resources Corporation Sdn Bhd yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Industri, Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Tan Sri Sufri Mohd Zin.
Shamsuri berkata, kepentingan hubungan kolaborasi itu juga secara tidak langsung membantu penambahbaikan sistem pengajaran dan pembelajaran PUO agar terus kekal relevan serta selari dengan kehendak semasa industri.
"Apa yang kita ada hari ini, berbeza dengan apa yang dihadapi anak-anak masa depan. Revolusi digital, gelombang artificial intelligencer, dominasi automasi dan teknologi lain yang pesat berkembang telah memaksa kita untuk tidak berdiam diri.
"Kita akui untuk menunjukkan TVET negara, kita tidak boleh bergerak secara silo, TVET harus relevan, futute-driven, harus padan dengan kehendak industri," katanya.
Agnesi dan pihak industri yang terlibat ialah YC Lee Architect, CSME Consortium, GB Kuari Sdn Bhd, Kelab Keseniaan Kompang dna Gamelan, Sigtech Engineering Sdn Bhd, TM Technology Services Sdn Bhd, Revenue Discovery Sdn Bhd.
Turut terlibat, Powerit Solution Sdn Bhd, Favotech System Sdn Bhd, Kolej Vokasional Seri Manjung, Ingeniouscity Solution, Hartalega Sdn Bhd, Daikin Malaysia Sales&Service Sdn Bhd, Eduspace Enterprise, Hovid Sdn Bhd, Kamaya Electric (M) Sdn Bhd dan Weldmart.
Majlis menandatangani disaksikan Ketua Pusat Korporat, Hubungan Industri dan Kebolehpasaran (CISEC) PUO, Dr Aishah Sheikh Abu Bakar.
Dalam majlis sama, PUO turut menghargai sumbangan pengamal media dengan penyampaian Sijil Penghargaan kepada 21 agensi di Perak termasuk Sinar Harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!