'Tak lama dah, tunggu umum malam ini' - Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

MARANG - Pas terus berteka-teki mengenai latar belakang 33 calon yang akan ditampilkan bersama gabungan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu dan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, pada 12 Ogos depan.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semua pihak perlu menunggu pengumuman rasmi yang akan diumumkan di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, di sini malam Khamis.

Menteri Besar Terengganu itu juga tidak memberi bayangan sama ada namanya kekal dicalonkan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang atau dicalonkan bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

"Insya-ALLAH akan ada. Tak perlu tunggu lama, malam ni dengarlah calonnya.

"Bagi saya, bukan urusan saya untuk lepaskan atau tak lepas (kerusi). Ia adalah kehendak parti yang memberi amanah kepada saya. Apa jua tugas yang diamanahkan saya akan laksanakan," katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek perumahan bercampur di Kampung Alur Limbat, di sini, pada Khamis.

Katanya, beliau mengutamakan hasrat dan kemahuan parti serta menerima sebarang keputusan yang akan diputuskan.

"Saya serah kepada parti. Tak kisah letak di mana sahaja. Apa jua (keputusan) nak bertanding ke, tak bertanding ke. Apapun tunggu malam ni. 'Grand finale' malam ini insya-ALLAH.

"Hasrat saya (letak) nombor sepuluh. Yang pertama adalah perjuangan dan kehendak parti keperluan masyarakat, kehendak negeri dan negara," ujarnya.

Pada PRU14 lalu, Ahmad Samsuri memenangi kerusi DUN Ru Rendang yang diambil alih daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan majoriti 6,028 undi.

Dalam saingan tiga penjuru itu, beliau menerima 13,851 undi menewaskan Datuk Nik Dir Nik Wan Ku dari BN (7,823 undi) dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zarawi Sulong (729 undi).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!