Orang Asli di Gua Musang bakal tanam kenaf jana ekonomi
KOTA BHARU - Masyarakat Orang Asli di Gua Musang, Kelantan akan terlibat secara langsung dalam usaha penanaman pokok kenaf bagi menjana ekonomi mereka pada masa akan datang.
Pengerusi Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara (LKTN), Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah berkata, cadangan melibatkan komuniti berkenaan masih dalam proses penilaian dan penelitian bersama pemimpin-pemimpin setempat termasuk tok batin.
Menurut beliau, pertimbangan dilakukan daripada semua aspek antaranya melibatkan isu-isu kesesuaian tanah untuk tanaman dan faktor bentuk muka bumi di kawasan mereka.
“Pegawai LKTN akan membuat kajian terlebih dahulu bagi melihat tekstur tanah sama ada sesuai atau tidak untuk tanaman kenaf. Kedudukan lot tanah tanaman juga perlu diambil kira bagi memastikan jentera membajak boleh dibawa masuk untuk proses penanaman.
“Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), saya sendiri akan masuk ke kawasan Orang Asli di Gua Musang pada September ini bagi melihat perkara-perkara berkaitan sebelum penanaman kenaf dilakukan,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Bicara Kenaf LKTN di Jalan Kebun Sultan di sini pada Khamis.
Wan Abd Rahim berkata, perbincangan ke arah usaha itu turut mengambil kira pandangan daripada masyarakat itu sendiri dan dengan kerjasama oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
Kata beliau, tanaman kenaf amat bersesuaian dengan budaya komuniti itu kerana tidak memerlukan penjagaan yang rumit.
“Memang inilah tanaman yang sesuai dengan Orang Asli. Hanya perlu tanam, bubuh baja dan tunggu empat bulan serta sudah boleh dituai.
“Jadi, amat sesuai dengan mereka kerana tidak memerlukan penjagaan rapi berbanding tanaman lain,” ujarnya.
Sementara itu, Wan Abd Rahim berkata, kenaf yang juga tanaman gantian tembakau itu turut diperluaskan di Sarawak dan Sabah sekali gus dapat mengatasi masalah kekurangan tanah yang dihadapi selain pelbagai bantuan disediakan oleh kerajaan kepada kira-kira 1,000 pekebun kecil tanaman itu setiap tahun.
“Tanaman kenaf di Sarawak dilakukan di daerah Bentong di tanah seluas 10 hektar sementara di Bintulu bakal bermula bila-bila masa.
“Sejak 10 tahun, kerajaan sudah membelanjakan lebih RM200 juta bagi memberi galakan kepada penanam-penanam kenaf di seluruh negara sekali gus akan meningkatkan hasilan produk berasaskan tanaman itu,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!