Dominic sah bertanding di DUN Bayan Lepas

Dominic
Dominic
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) setuju untuk meletakkan Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai sebagai calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan timbul konflik penamaan calon selepas Pas Dun Bayan Lepas menyuarakan ketidakpuasan hati susulan hasrat Dominic untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Mereka menetapkan pendirian untuk memboikot proses penamaan calon sekiranya Dominic masih berkeras untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Terdapat tiga DUN di bawah Parlimen Balik Pulau iaitu Bayan Lepas, Pulau Betong dan Teluk Bahang.

Baru-baru ini, media turut melaporkan Dewan Pemuda Pas Tasek Gelugor mendesak Dominic supaya berundur dan tidak berangan-angan untuk bertanding di kerusi majoriti Melayu di Tasek Gelugor PRN nanti.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!