Setahun tempoh singkat nilai PH: Wan Azizah

No Image Caption
A
A
A

RAMAI yang sedia maklum laluan politik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail amat berliku. Namun, perubahan kerajaan setahun lalu telah mengubah kehidupan wanita besi ini. Daripada seorang Ketua Pembangkang, beliau kini mencipta sejarah menjadi wanita pertama dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM). Wan Azizah turut memegang portfolio Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Ikuti wawancara beliau bersama enam media terpilih sempena setahun pemerintahan kerajaan PH, Sabtu lalu.

Apakah kejayaan terbesar Pakatan Harapan (PH) yang boleh dibanggakan?

WAN AZIZAH: Kebanggaan terbesar adalah apabila kita tukar kerajaan dengan cara cukup matang. Saya tabik kepada pengundi yang telah membuat perubahan itu dengan baik dan stabil. Realitinya kita adalah kerajaan baharu tanpa pengalaman, walaupun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad paling berpengalaman di dunia. Tetapi satu pasukan adalah penting untuk hadapi cabaran mentadbir Malaysia. Satu tahun adalah masa yang singkat untuk kita nilai pencapaian PH namun kita boleh tengok usaha PH menanam sebiji benih untuk kita hidupkan.

Apa harapan utama selepas setahun PH memerintah?

WAN AZIZAH: Harapan saya semua rakyat bersatu membuat perubahan. Janganlah kita dipisahkan kerana perbezaan agama, bangsa dan budaya. Kita nak membangunkan negara bersama-sama. Kita buat perubahan ini kerana mahukan negara kita maju dan berkembang untuk semua orang.

Apakah makna Malaysia Baharu dan adakah sudah mencapai sasaran itu?

WAN AZIZAH: Kita sentiasa dalam sebuah perjalanan dan setiap kali mahu melakukan sesuatu, pastikan ia yang terbaik. Malaysia Baharu sudah sampai ke tahap itu. Kerajaan sudah memberikan banyak bantuan tetapi kita kena keluar daripada pemikiran untuk mendapat bantuan percuma. Bukan kita tidak boleh buat tetapi disebabkan masalah integriti dan penyalahgunaan kuasa, berlaku ketirisan. Setelah setahun menerajui kementerian dan menjadi TPM, pada tahap berapa Datuk Seri letakkan ranking untuk diri sendiri? WAN AZIZAH: Biar rakyat yang letakkan ranking itu, saya hanya cuba yang terbaik. Saya ada pengalaman sebelum ini sebagai pembangkang dan saya berusaha bersungguh-sungguh. Saya tahu saya ada kekurangan, tetapi pegawai saya banyak membantu.

Apa cabaran utama dihadapi sebagai TPM?

Artikel Berkaitan:

WAN AZIZAH: Saya seorang yang sedang be-lajar, jadi saya rasa banyak benda perlu dipelajari dan dikuasai. Jika media bertanya, saya perlu yakin kerana semua yang keluar daripada mulut saya adalah polisi. Ini antara cabaran yang perlu dihadapi.

Apa perkembangan e-Kasih dan i-Suri?

WAN AZIZAH: e-Kasih adalah salah satu cara kita mengenalpasti mereka yang memerlukan. i-Suri pula adalah idea yang tercetus daripada kawan-kawan kita untuk menghargai suri rumah yang menyumbang terhadap pembinaan negara. Mereka adalah hero tidak didendang. Jadi ini adalah penghargaan kepada ibu yang tidak bekerja formal. i-Suri ini umpama safety net agar mereka ada tabungan jika sesuatu berlaku. Kita bermula dengan RM5 dan setakat sekarang ada 100,000 orang terlibat. i-Suri ini ada beberapa fasa. Pada fasa ketiga, dua peratus sumbangan KWSP suami akan dimasukkan ke akaun isteri.

Adakah kerajaan bercadang meningkatkan sumbangan i-Suri daripada RM40 sebulan atau ada kaedah lain untuk menarik lebih ramai pencarum?

WAN AZIZAH: Itu adalah antara fasa yang saya sebutkan tadi. Kita juga mahu duit itu pergi kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Namun, kita ada masalah untuk mendapatkan pencarum dan mereka perlu tahu ada jumlah perlu dibayar setiap bulan dan sedikit pertambahan untuk Perkeso. Kita dalam perbincangan untuk fasa seterusnya.

Wawancara bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersama media di Parlimen. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Wawancara bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersama media di Parlimen. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib

Apakah perancangan kementerian untuk memperkasakan kanak-kanak dan wanita?

WAN AZIZAH: Memang kita ada banyak perancangan. Salah satu pemerkasaan yang kita mahu adalah diri sendiri. Kementerian mahu pemerkasaan untuk tukar mind set. Kami tak ambil alih tugas ibu bapa, tetapi kami hanya memberi panduan. Pemerkasaan kanak-kanak dan wanita ini untuk memberi mereka kesedaran bahawa mereka mampu mencapai sesuatu kejayaan. Kumpulan sasaran kita juga ada orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

Begitu ramai rakyat B40 tersenarai dalam rekod e-Kasih. Apakah usaha untuk mengeluarkan mereka daripada kemiskinan?

WAN AZIZAH: Kementerian telah memperkenalkan program Two Years Exit untuk membolehkan mereka berdikari dan tidak bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata. Melaluinya, peserta diberikan suntikan modal Bantuan Geran Pelancaran berjumlah RM2,700 dan kursus latihan kemahiran yang sesuai dengan keupayaan mereka. Kita sekarang menjurus kepada dunia digital tetapi kita ada masalah untuk memadankan graduan dengan pekerjaan yang sesuai. Tapi sekarang ada latihan TVET untuk menjadikan mereka lebih mendapat tempat di pasaran.

Boleh Datuk Seri kongsikan keberkesanan sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak?

WAN AZIZAH: Untuk memastikan sistem ini dilaksanakan adalah satu pencapaian yang besar. Perkongsian data merupakan salah satu cabaran yang kita hadapi sebab ada undang-undang berkaitan privasi. Kita dapat senarai ini daripada mereka yang telah disabitkan kesalahan. Kita tidak mahu lagi kanak-kanak menjadi mangsa kesalahan seksual. Tolong gunakan senarai itu.

Apakah usaha kementerian untuk mengekang perkahwinan bawah umur?

WAN AZIZAH: Kita sudah melakukan banyak perkara berkenaan isu ini. Sesetengah perkara tertakluk di bawah undang-undang syariah dan ada beberapa cabaran. Tetapi ini bukan hanya berkaitan undang-undang kerana mereka boleh melanggarnya dan berkahwin di Golok. Jadi kita kena atasinya dari akar dulu.

Selain isu wanita dan kanak-kanak, apa lagi fokus utama kementerian?

WAN AZIZAH: Kementerian ini penting untuk keibubapaan. Zaman sekarang ramai ibu bapa bekerja dan anak-anak dididik oleh pembantu rumah. Kementerian akan cuba membantu menambahkan skil keibubapaan.

Selain menerajui kementerian, apa lagi tugas Datuk Seri?

WAN AZIZAH: Memandangkan negara kita sekarang dalam zaman siber atau digital, saya juga ditugaskan untuk menjaga keselamatan siber negara. Kita juga ada strategi keselamatan siber negara yang sedang dibangunkan. Selain itu, kita ada National Cyber Workforce dan pelan kesedaran nasional yang akan dilancarkan hujung tahun ini. Bagi kerjasama antarabangsa, Malaysia bersama Australia dan Rusia telah membangunkan Asean Regional Forum Cyber Security Workplan. Malaysia bersama Australia juga membangunkan Cyber Point of Contact iaitu satu pengkalan data senarai pegawai perhubungan negara ahli.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

Artikel Disyorkan
No Image Caption
Kerajaan PH

Wibawa Parlimen dikembalikan

No Image Caption
Kerajaan PH

Debat undang-undang, Perlembagaan semakin rancak