KPDN bantu pelajar tangani kemiskinan haid

Fuziah (depan, dua dari kiri) menunjukkan 'mini love' ketika bergambar bersama tetamu kehormat dan pelajar sempena Program Outreach Sara Hidup dan Advokasi dan Kepenggunaan Peringkat Negeri Kelantan pada Rabu.
Fuziah (depan, dua dari kiri) menunjukkan 'mini love' ketika bergambar bersama tetamu kehormat dan pelajar sempena Program Outreach Sara Hidup dan Advokasi dan Kepenggunaan Peringkat Negeri Kelantan pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berusaha membantu pelajar Tingkatan Enam dan kolej vokasional yang mengalami masalah kos sara hidup di asrama termasuk kemiskinan haid.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, kementerian itu sebelum ini menerima permohonan Jualan Rahmah Khas yang mempunyai kaitan dengan isu itu.

Menurut beliau, pelajar berkenaan merupakan golongan yang mungkin menghadapi kesukaran kerana tiada bantuan elaun dan perlu tinggal di asrama selain memerlukan perbelanjaan dengan kos tertentu.

"Kehidupan pelajar ini agak sukar apabila tiada elaun kerana kebanyakan mereka ialah dalam golongan B40," katanya kepada pemberita selepas Program Outreach Sara Hidup dan Advokasi dan Kepenggunaan Peringkat Negeri Kelantan di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah KPDN negeri Kelantan, Azman Ismail.

Fuziah memberitahu, permohonan itu mungkin boleh dimasukkan dalam baucar Inisiatif Rintis Bantuan Tanpa Tunai yang dimulakan kerajaan tahun lalu.

Beliau memberitahu, melalui inisiatif itu, pelajar Tingkatan Enam dan kolej vokasional daripada kumpulan isi rumah B40 menerima bantuan e-dompet bernilai RM50.

Jelas Fuziah, inisiatif berkenaan melibatkan seramai 4,116 pelajar di seluruh negara dengan peruntukan hampir RM800,000.

Katanya, setiap pelajar terpilih menerima bantuan dalam bentuk e-dompet bernilai RM50 sebulan bagi tempoh tiga bulan berturut-turut dan dijangka selesai habis peruntukan pada Ogos akan datang.

Beliau sebelum itu menyampaikan baucar Inisiatif Rintis Bantuan Bantuan Tanpa Tunai kepada 240 pelajar Tingkatan Enam dan kolej vokasional yang terpilih di seluruh Kelantan.

Sementara itu Fuziah berkata, pihaknya sedang merancang mengembangkan Inisiatif Rintis Bantuan Tanpa Tunai itu untuk membantu pelajar yang memerlukan.

Justeru katanya, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan membuat laporan kepada pihaknya dan mencadangkan supaya inisiatif rintis dikembangkan kerana berkesan membantu pelajar miskin.

Dalam pada itu, beliau memberitahu e-dompet akan disekat jika didapati ada salah guna dalam kalangan pelajar termasuk pembelian aplikasi permainan dalam talian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!