Calon wanita BN-PH Kelantan tak akan beri laluan mudah untuk Pas
KOTA BHARU - Enam calon wanita dari gabungan Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) tidak akan memberikan laluan mudah kepada Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Kesemua calon itu terdiri dari empat BN masing-masing satu dari Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR yang merupakan komponen dalam PH.
Calon Amanah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim berkata, beliau tekad bekerja keras dalam memenangi hati pengundi dengan memperjuangkan semua isu melibatkan kepentingan rakyat termasuklah kanak-kanak dan golongan muda.
"Pada masa sama, golongan wanita tidak kita lupakan. Hal ini kerana wanita turut memainkan peranan dalam menggerakkan ekonomi setempat dan memajukan rakyat.
"Dengan pelbagai isu dan masalah asas rakyat yang tidak dapat ditangani oleh pemerintah sedia ada hari ini, saya akan cuba meyakinkan mereka (rakyat) untuk memilih Kerajaan Perpaduan," katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah terbukti cemerlang apabila tidak menyekat peruntukan untuk negeri ini.
Ujarnya, kerajaan negeri selepas ini perlu selari dengan kerajaan pusat demi kestabilan dan kemakmuran Kelantan pada masa hadapan.
Bagi calon BN di DUN Pantai Irama, Zakiah Md Noor berkata, walaupun kawasan itu merupakan 'kubu kuat' Pas namun beliau tidak gentar untuk melangkah masuk ke gelanggang PRN.
Tambahnya, pengalaman yang ada akan dimanfaatkan sebaik mungkin dalam usaha memberikan tentangan sengit kepada Pas.
"Apa yang penting kita berusaha, selebihnya serah kepada ALLAH. Saya harap rakyat di Pantai Irama dapat memberi ruang kepada BN untuk memajukan lagi kawasan tersebut dengan pelbagai kegiatan ekonomi pada masa hadapan," katanya.
Sementara itu, calon PKR bagi kerusi DUN Pasir Tumboh, Aina Naziratul Aini Sayuty menyifatkan pemilih calon-calon wanita kali ini adalah langkah bijak dalam mengembalikan tradisi sejarah kegemilangan dan kemakmuran negeri Kelantan.
Beliau yakin pemilihan wanita sebagai calon akan membantu menamatkan pemerintahan Kerajaan Pas Kelantan selama lebih tiga dekad.
"Tidak betul jika dikatakan di Kelantan, Pas begitu kuat.
"Bagi saya peluang BN-PH untuk menang di Kelantan ada tanda yang kuat, tidak seperti PRU15 lalu. PRN kali ini mana-mana pihak tidak lagi dibenarkan bermain dengan isu 3R (agama, bangsa dan institusi raja).
"Saya percaya kegiatan merasuah pengundi akan lebih terkawal. Ini membolehkan pengundi memilih dengan lebih bebas dan rasional. Dalam keadaan ini BN-PH adalah pilihan terbaik untuk rakyat Kelantan. Ramai pengundi yang saya temui menyebut untuk ubah Kelantan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!