Masjid Cina mesra pengguna

Murad sedang menyusun barang makanan yang disumbangkan individu untuk diambil oleh mereka yang memerlukan.
Murad sedang menyusun barang makanan yang disumbangkan individu untuk diambil oleh mereka yang memerlukan.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Masjid Cina Melaka, Al -Muttaqin yang terletak di Krubong, di sini, menyediakan pelbagai kemudahan untuk menarik kehadiran orang ramai ke masjid terbabit selain daripada menunaikan solat.

Imam Satu Masjid Cina Melaka, Murad Amat berkata, antara kemudahan yang disediakan ialah bilik bacaan kepada orang ramai.

Menurutnya, bilik bacaan yang boleh menempatkan seramai 30 orang dalam satu masa itu diwujudkan sejak masjid berkenaan siap pada April 2014 dan kini terdapat lebih 100 bahan bacaan termasuk tafsir al-Quran, buku keagamaan dan majalah.

"Kebanyakan bahan bacaan ini disumbangkan orang awam selain sumbangan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan turut terdapat buku dalam bahasa Cina. Kebiasaan kemudahan itu diguna pakai oleh pelajar sekolah dan terdapat juga bilik mesyuarat yang boleh digunakan.

"Bilik bacaan ini dibuka setiap hari dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan sekurang-kurangnya anak-anak kecil yang tidak bersolat akan menggunakan kemudahan itu sementara menunggu ibu bapa mereka solat fardu," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Murad berkata, selain itu masjid yang dibina atas tanah berkeluasan 2.4 hektar itu turut menyediakan ruangan menyumbang barang keperluan dapur bagi diberikan secara percuma kepada mereka yang memerlukan.

Katanya, almari yang menempatkan pelbagai jenis bahan asas makanan seperti minyak dan tepung tidak pernah kosong sejak hasil inisiatif pengurusan masjid diperkenalkan dua tahun lalu.

"Kita memberi kebenaran kepada mereka yang memerlukan untuk mengambil barang makanan dan tempoh jarak yang kita tetapkan dua minggu sebelum boleh mengambil barang lagi dan setakat ini yang paling jauh kami terima individu yang datang dari Alor Gajah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Murad berkata, pihaknya juga merancang pelbagai program menarik sepanjang Ramadan seperti tazkirah dan iftar santai bersama pendakwah selebriti, program tadabbur al-Quran, agihan bubur lambuk, solat tarawih dan program QuranHour.

Menurutnya, beliau berharap masyarakat setempat dapat bersama menjayakan program yang direncanakan bagi bersama menyemarakkan masjid pada bulan mulia ini.

"Kami pihak pengurusan masjid mengalu-alukan orang ramai yang ingin memberikan sebarang bentuk sumbangan sepanjang Ramadan dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 06-3347321," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!