Ekonomi Madani kerangka utama ekonomi - Fahmi
KUALA LUMPUR - Ekonomi Madaniyang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi kerangka utama untuk Malaysia bergerak ke arah ekonomi negara dan rakyat yang lebih baik.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, dalam mencapai sasaran Ekonomi Madani, tujuh misi utama telah diumumkan Anwar.
Tujuh penanda aras utama sebagai sasaran jangka masa sederhana yang diumumkan adalah Malaysia berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia; Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia dan peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan.
Selain itu, kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60 peratus; Indeks Pembangunan Manusia di tangga 25 teratas dunia; Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia dan kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai tiga peratus atau lebih rendah.
"Kerajaan Perpaduan ingin membawa Malaysia ke arah yang lebih baik terutamanya dalam tujuh aspek ini,” katanya dalam catatan di Facebook pada Khamis.
Fahmi menjelaskan, Ekonomi Madani bukan untuk jangka masa pendek semata, tetapi akan menjadi rujukan untuk pelan ekonomi jangka sederhana dan panjang.
"Akhirnya, melalui pelaksanaan Ekonomi Madani, pembangunan Malaysia akan beralih ke arah memperkasa rakyat,” katanya.
Ekonomi Madani, kerangka ekonomi yang diumumkan Anwar hari ini bertujuan mengangkat semula ekonomi Malaysia, akan membawa limpahan hasil bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih berkualiti.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pengumuman ‘Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat’ adalah satu rencana menyeluruh bagi Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dan isu-isu berkaitan daya saing dan tarikan negara sebagai destinasi pelaburan serta menggariskan tindakan bagi menangani isu-isu semasa yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!