Lelaki ketuk kereta guna topi keledar dah kena tahan

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

TAIPING - Polis berjaya menahan seorang lelaki yang terlibat mengetuk pintu sebuah kereta menggunakan topi keledar dalam satu insiden di Jalan Pokok Assam Tambahan, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di kawasan Pokok Assam sekitar jam 8.45 malam.

"Suspek merupakan seorang penganggur ditahan susulan video tular, Isnin lalu. Kejadian itu dipercayai berpunca daripada kesalahan lalu lintas melibatkan kenderaan terlibat.

"Siasatan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Kertas siasatan kini dalam proses untuk dilengkapkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

Menurut beliau, suspek direman selama empat hari sehingga Ahad ini untuk siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Sinar Harian melaporkan polis mengesan suspek yang bertindak agresif merosakkan pintu kereta dipercayai berpunca daripada kesalahan lalu lintas.

Siasatan dilakukan selepas menerima laporan daripada lelaki tempatan dan video insiden berdurasi 42 saat itu tular di media sosial.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!