#LotussLebihMurah penjimatan setiap hari
Diskaun lima hingga 37 peratus libatkan 3,500 barangan keperluan harian
KUALA LUMPUR - Bagi menghargai pelanggan dan rakyat Malaysia yang selama ini menyokongnya, Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) menawarkan penjimatan berganda menerusi kempen #LotussLebihMurah.
Pengarah Eksekutif Pelanggannya, Vivian Yap berkata, sebanyak 3,500 barangan keperluan hariannya dijual pada harga diskaun lima peratus hingga 37 peratus daripada harga asal.
Menurutnya, kadar penjimatan ini ditawarkan setiap hari di 66 buah pasar raya itu di seluruh negara.
“Ini merupakan salah satu usaha Lotus’s Malaysia menyahut seruan kerajaan untuk membantu rakyat membeli-belah barangan keperluan harian pada kadar yang murah dan menjimatkan.
“Harga barangan telah meningkat disebabkan banyak keadaan termasuk keadaan geopolitik yang menyebabkan peningkatan dalam kos pengangkutan, logistik dan kos buruh.
“Selain itu, faktor pandemik Covid-19 turut menjejaskan keadaan ekonomi dengan teruk sehingga menyebabkan kenaikan harga barangan berbeza sebelum wabak merebak dengan kadar inflasi yang rendah, tiada gangguan kepada bekalan dan bahan mentah,” katanya pada sidang akhbar di Lotus’s Kepong pada Selasa.
Tambahnya, barangan runcit seperti beras, susu bayi, susu tepung, lampin dan sebagainya akan diberi diskaun.
“Kita faham dalam keadaan kos sara hidup yang agak tinggi, kami di Lotus’s Malaysia menawarkan barangan berkualiti pada harga yang murah demi memenuhi kehendak pelanggan yang datang daripada pelbagai peringkat umur.
Rangkumi pelbagai barangan
Jelasnya, senarai produk #LotussLebihMurah merangkumi pelbagai barangan kegemaran isi rumah di Malaysia antaranya, pasta, mi segera, sardin, rempah hinggalah susu formula dan makanan haiwan.
“Pelanggan juga masih dapat menikmati harga yang murah ini meskipun mereka berbelanja secara dalam talian di Lotus's Shop Online dan kedai rasmi Lotus's di Lazada, Shopee, foodpanda dan Grab,” ujarnya.
Tambah Yap, paling penting untuk ahli My Lotus's, mereka dapat berjimat dengan lebih banyak lagi apabila menggunakan mata ganjaran Lotus's ketika membuat pembayaran.
"Ahli boleh mengumpul mata ganjaran ketika mereka membeli-belah dan menggunakannya untuk membayar barangan runcit, bila-bila masa di stor atau dalam talian dan secara tidak langsung membantu mengurangkan bil runcit mereka.
“Harganya berpatutan, dan ia akan menjadi 15 peratus hingga 20 peratus lebih rendah berbanding jenama nasional,” jelas beliau.
Kata Yap lagi, Lotus's telah memperkenalkan promosi penurunan harga lain seperti Segar & Murah yang menawarkan pilihan produk segar pada harga lebih rendah dan pembelian dengan pembelian (PWP) pada Jun lalu.
"Bagi mereka yang ingin mencari alternatif lebih murah, Lotus's Malaysia menawarkan lebih 3,000 produk jenama Lotus's di mana 90 peratus daripadanya adalah hasil keluaran oleh usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya.
Tawar Menu Rahmah
Menurutnya, kesemua 59 medan selera Lotus's di seluruh negara akan terus menawarkan Menu Rahmah dengan harga RM5 untuk pelanggan dan keluarga yang mengunjungi stornya.
"Kami akan segera memperluaskan inisiatif Rahmah dengan memberikan potongan sebanyak 10 peratus untuk bahan utama kepada pengusaha makanan yang menawarkan Menu Rahmah," katanya.
Mengulas lanjut, Ketua Undang-Undang Perdagangan dan Teknikal Lotus’s Malaysia, Jaynie Lim berkata, setiap jenis produk makanan yang dijual di Lotus’s melalui prosedur kawalan kualiti yang ketat.
Menurut Lim, semua pembekal perlu memastikan barangan atau makanan yang dihantar selamat dan bersih untuk dimakan.
“Selain bersih setiap barangan makanan misalnya mestilah disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya.
Tambahnya, pengesahan halal ini penting kerana majoriti pelanggan Lotus’s Malaysia adalah beragama Islam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!