Usia bukan penghalang, Jatt masih ‘ligat’ buat persembahan
MESKI usia sudah mencecah 67 tahun, penyanyi dan bekas vokalis kumpulan Black Dog Bone, Jatt, terharu apabila terus diterima peminat dan masih menjadi pilihan penganjur untuk mengadakan persembahan pentas.
Bukan hanya di Malaysia dan Singapura, tetapi Jatt atau nama sebenarnya Tahir Ali turut mendapat tawaran menyanyi sehingga ke Australia.
“Alhamdulillah saya bersyukur sangat masih diterima peminat dan ada dalam pilihan pihak penganjur untuk melibatkan saya dalam acara-cara dan persembahan pentas yang mereka anjurkan.
“Tidak hanya di sini, tetapi baru-baru ini saya juga dijemput mengadakan persembahan di Perth, Australia anjuran sebuah persatuan di sana. Insya-ALLAH selepas ini kalau perancangan menjadi kenyataan, saya juga akan mengadakan persembahan di Melbourne pula.
“Kalau boleh saya juga cuba mengintai peluang baharu di sana jika ada ruang untuk saya mengadakan lebih banyak persembahan,” katanya yang kini selesa tampil dengan imej botak.
Dalam perkembangan lain, Jatt juga bakal menjayakan konsert Semangat Zaman - 20th Anniversary yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 29 September depan. Konsert istimewa itu turut menampilkan artis rock legenda tanah air seperti Datuk Nash, Joey, Yantzen, Rahmad, Bandi, Muss dan Aris Ariwatan.
Tidak hanya diminati golongan dari era sama, Jatt juga mendapat perhatian daripada peminat generasi baharu, terutamanya selepas terlibat dalam program Projek Bapak-Bapak terbitan Astro bersama Datuk Ramli MS, Datuk Jalaluddin Hassan dan Roy Azman.
“Selama ini orang nampak saya macam serius saja, tetapi selepas terlibat dengan program terbabit mereka nampak sisi sebenar saya. Tak sangka orang suka tengok program itu walaupun hanya dibarisi artis-artis lama.
“Seronoknya ada ramai peminat baharu yang terdiri daripada generasi muda. Mereka rajin berinteraksi di media sosial menyatakan sokongan dan ia sesuatu yang menyenangkan saya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!